Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Selasa, 6 April 2010

Terima Kasih YB DUN Kuala Linggi

Susulan Daripada Lawatan 4/4/10 - Saudara Roslan Abu Kasim; Salinan daripada Akhbar Sinar Harian (Unedited Version)

MASJID TANAH – Cinta sejati isteri bukan sahaja terpaksa menguruskan suami akibat koma selepas terlibat di dalam satu kemalangan jalan raya sejak sebulan lalu, malah dirinya terus hilang punca pendapatan untuk menyara empat anak berusia antara enam hingga 11 tahun.

Difahamkan suri rumah berusia 35 tahun yang tinggal di Kampung Telok Gong, Pengkalan Balak di Kuala Sungai Baru dekat sini terpaksa mengharungi perjalanan hidup penuh ranjau sejak suaminya, Roslan Abu Kassim,38, terlibat dalam satu tragedi kemalangan jalan raya pada 28 Februari lalu hingga menyebabkan tidak sedarkan diri sampai sekarang.

Menurut Mazlinda Abu Noh, kejadian itu berlaku lebih kurang 3 petang ketika suaminya menunggang motosikal menuju ke kedai berdekatan rumah di Kampung Telok Gong untuk membeli barang keperluan dapur.

Akibat daripada kemalangan tersebut katanya, suami beliau disahkan mengalami kecederaan parah dibahagian kepala sekaligus terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di dalam otak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Melaka (HBM).

"Sudahlah suami ditimpa kecelakaan dan telah terlantar lama di HBM ini, ia sekaligus membuatkan kami sekeluarga hilang punca pendapatan ditambah pula sebelum ini bergantung sepenuhnya dengan sumber kewangan sebagai nelayan hanya RM500 sebulan," katanya ketika ditemui pemberita di hospital berkenaan, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Ar Ismail Othman, Ketua Penyelia Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela) Melaka, Amir Hamzah Ab Aziz, Penolong Pegawai Kanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Zainuri Bohori, Penolong Setiausaha Bahagian Zakat Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Mohd Khabir Abdul Karim dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Kampung Telok Gong merangkap Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Zaini Mohamad.

Menurut beliau, keempat-empat anak masih bersekolah amat memerlukan perbelanjaan sekitar RM300 untuk belanja sekolah seminggu.

Setakat ini katanya, beliau dan anak-anak menumpang di rumah mertua dan mengharapkan pertolongan adik-beradik membantu namun sehingga bila hendak mengharapkan belas ehsan orang semata-mata.

"Buat masa ini, saya terpaksa menghantar empat anak-anak ke rumah mertua untuk dijaga buat sementara waktu memandangkan setiap hari menjaga suami sedang koma.

"Segala makan, minum dan duit ke sekolah anak-anak terpaksa ditanggung kesemuanya oleh mertua hampir sebulan lalu. Masalah lain juga terpaksa diharungi iaitu bapa mertua tidak sihat sejak kebelakangan ini akibat mengalami penyakit angin ahmar dan dijaga oleh mak mertua juga telah uzur," katanya.

Sementara itu, Ar Ismail menyatakan, keempat-empat anak Roslan akan dipertimbangkan untuk disalurkan bantuan kanak-kanak JKM sebanyak RM400 sebulan disusuli bantuan orang terlantar RM300 sebulan dan bantuan makanan Maim RM150 sebulan.

Katanya, kepayahan keluarga Roslan termasuk keadaan yang telah lama koma itu baru sahaja dimaklumkan malam tadi melalui seorang wartawan, dan terus bertindak melawat di hospital hari ini.

"Saya memang terperanjat dan tidak mengetahui tentang Roslan yang merupakan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Telok Gong merangkap Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Kampung Telok Gong, juga Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan Pergerakan Pemuda sudah sebulan lebih terlantar di hospital akibat kemalangan bulan lalu.

"Walaupun begitu, selaku ADUN kawasan akan cuba membantu keluarga ini dan hasil perbincangan bersama Pembela Melaka, JKM Melaka dan Maim maka permasalahan dialami diselesaikan sekadar segera yang diharapkan keluarga ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sinar Harian (SH) telah menerima makluman berhubung masalah keluarga Roslan termasuk dirinya yang sudah sebulan koma di hospital tanpa diziarahi mana-mana pihak melalui Unit Media Baru (UMB) Negeri Melaka yang dipengerusikan oleh Abd Kadir Md Idris.

Beliau yang telah mengarahkan Setiausahanya, Mohd Hanif Majid untuk melihat perkembangan keadaan Roslan yang terlantar dan hasilnya, masalah dialami keluarga berkenaan berjaya dirungkai oleh ADUN kawasan, Pembela Melaka, JKM Melaka dan Maim di mana berjanji cuba menyelesaikan kemelut kehilangan punca pendapatan isteri dan anak-anak memandangkan beliau masih belum sedarkan diri.

Menurut Mohd Hanif, kita seharusnya memerlukan pemimpin yang sentiasa memantau masalah rakyat bukan sekadar cakap-cakap retorik untuk meraih undi sahaja di mata masyarakat setempat.

Katanya, setiap masalah rakyat haruslah diambil tindakan segera selaras dengan kehendak Perdana Menteri 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

"UMB Negeri Melaka akan terus membantu sekiranya dimaklumkan jika terdapat mana-mana masalah wajar dihulurkan bantuan segera sekaligus mengharapkan pemimpin yang diamanahkan supaya tampil membantu tanpa tidak membiarkan sehingga mengundang hilang kepercayaan kepada ketelusan pemimpin tersebut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...