Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Rabu, 16 Disember 2009

Islam Tulen UMNO: Pas Doa Bala UMNO doa Sejahtera..

Biarpun Nik Aziz dan Juak2 Pas mendoakan bala buat datuk Seri Najib akan tetapi PM yang dikasihi tetap mengamalkan Islam tulen dengan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan walaupun kepada seorang musuh.. fikir2 kan lah..
Kenyataan Nik Aziz ada muslihat politik
Oleh Kamal Ahmad


NAJIB beramah mesra dengan imam masjid di selatan Thailand ketika Majlis Penamaan Semula Jambatan menghubungkan Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan dengan Buketa, Narathiwat, sempena lawatan beliau ke Narathiwat, baru-baru ini.

HARI ini mendoakan musibah, esoknya pula puji menggunung, begitulah sikap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dalam masa seminggu terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Pada 4 Disember lalu beliau dilaporkan memberi ingatan agar orang yang terbabit dalam 'soal royalti minyak' diturunkan musibah pecah perut sekiranya tidak memberi hak itu kepada Kelantan. Kenyataan ini secara tidak langsung merujuk kepada Perdana Menteri pada 4 November lalu mengumumkan di Parlimen bahawa Kerajaan Pusat akan memberi wang ihsan kepada Kelantan, bukan dalam bentuk tunai tetapi projek.

Reaksi spontan Mursyidul Am Pas itu: "Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu."

Nik Aziz yang menyatakan perkara itu pada sekumpulan penyokongnya pada perhimpunan di Jalan Datuk Pati, Kota Bharu, mengulangi dan mempertahankan pendiriannya keesokan harinya apabila media menyiarkan berita berhubung kenyataan doanya itu.

Setiausaha Politiknya, Anual Bakhari Haron, berkata kenyataan itu tidak merujuk kepada mana-mana pemimpin tetapi hanya mahu menjelaskan bahawa bala Tuhan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Selepas dikecam hebat berhubung isu yang sama, Nik Aziz pada 2 Disember menukar sedikit saranannya itu dengan meminta supaya doa itu dibuat secara individu.

"Oleh kerana Perdana Menteri berasa hati bahawa sebut nama dalam doa maka saya minta tidak disebut secara beramai-ramai, hanya disebut bersendirian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kota Bharu.

Sehari selepas Najib melawat wilayah bergolak Narathiwat di selatan Thailand, Nik Aziz tidak ketinggalan memberi komen tetapi kali menyifatkan Perdana Menteri sebagai pejuang Islam serta pemimpin yang berani.

"Saya setuju sangat dengan tindakan Najib membantu itu tapi ia hendaklah tidak kira orang Islam (saja) malah juga turut membabitkan semua penduduk di situ," katanya.

Beliau turut berkata: "Saya anggap tugas Najib itu berani. Sebelum berlaku perang (konflik) saya selalu pergi ke Thailand untuk mengadakan ceramah agama di beberapa tempat di negara itu.

"Sekarang saya tidak berani pergi (ke sana), orang bedil (tembak) saya. Kalau pergi juga, saya tidak mati syahid di sana," katanya.

Mengulas dua kenyataan itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua kenyataan Nik Aziz ada tujuan dan kepentingan politik.

"Warna (sikap dan pendirian) beliau berubah-ubah mengikut keadaan. Di tanah warna lain, di atas pokok warna lain. Semua kenyataannya mengikut kepentingan politik," katanya.

Ahmad Zahid turut mengimbas kempen Nik Aziz ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dekat Port Dickson, pada Oktober lalu yang turut menuduh beliau dan Najib sebagai 'orang yang paling jahat di Malaysia' semata-mata kerana pembangkang tidak dibenarkan berkempen dalam kawasan kem tentera.

"Bukti kenyataan Nik Aziz berhubung tuduhan itu ada dalam You-Tube. Jadi apakah maknanya bila beliau memuji keberanian Perdana Menteri. Hanya dia seorang yang tahu," katanya sambil mempersoalkan Nik Aziz tidak pun membantu penduduk Islam di selatan Thailand sedangkan Kelantan berjiran dengan wilayah itu.

Najib ke Narathiwat pada Rabu lalu dalam keadaan wilayah itu masih bergolak dan di bawah pentadbiran undang-undang tentera. Pemergian beliau ke sana bukan untuk meraih kepentingan politik dan pujian. Perdana Menteri melihat kepentingan agama, bangsa dan negara lebih utama daripada keselamatan dirinya sendiri dan anggota rombongan.

Apakah ini perjuangan Islam sekular seperti didakwa Nik Aziz. Apakah ini bukan perjuangan Islam oleh Umno yang disamakan Nik Aziz seperti 'penduduk setinggan'? Konflik di selatan Thailand sekian lama berlarutan tetapi apakah bentuk sokongan dan bantuan Nik Aziz atau kerajaan Kelantan bagi membantu kerajaan negara jiran itu memulihkan keadaan?

Apakah dengan setakat memuji dan menyifatkan Najib pejuang kerana berani ke Narathiwat maka Nik Aziz tidak boleh dipersoalkan lagi mengenai pengabaian beliau terhadap saudara seagama yang menderita di seberang sempadan negerinya?

Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno, Mohd Affandi Yusoff, menyifatkan ucapan Nik Aziz sebagai kenyataan politik walaupun dianggap pendirian seorang ulama di kalangan penyokongnya.

"Apabila ada sesuatu yang memberi keuntungan maka dia akan sokong. Yang tidak memberi keuntungan maka dia akan maki hamun. Ini bukan ciri ulama. Setiap ucapannya adalah kenyataan politik," kata beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang

Justeru, katanya, apabila kenyataan itu bersifat politik maka Nik Aziz akan melihat kenyataannya dari sudut kepentingan politik.

"Yang sedihnya, apabila dia membuat kenyataan walaupun bercanggah, itu tetap ditelan bulat-bulat oleh penyokongnya," katanya.

Keadaan ini, kata Affandi, mencetuskan kebimbangan kerana kenyataan Nik Aziz yang mengelirukan itu jika dibiarkan tanpa dibendung akan merebak dalam sikap dan pemikiran umat Islam.

Kenyataan lain Nik Aziz yang mencetuskan kontroversi antaranya orang kafir dibolehkan memaki orang Islam dan orang kafir dibolehkan membaca al-Quran. Dalam peringatan kepada bakal pengundi pilihan raya kecil Kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, beliau antara lain menyatakan Umno hanya bernabi kepada orang putih semata-mata.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata: "Umur saya sendiri banyak habis untuk bertengkar (berhujah) dengan orang Islam Melayu -Melayu Islam yang banyak mengakibatkan imej Islam menjadi rosak kerana bangsa kita menerima Islam secara tradisi"

Persoalan di sini, siapakah yang beliau rujuk sebagai Melayu Islam 'yang merosakkan imej Islam' dan apakah ini termasuk dirinya sendiri yang menganut Islam secara tradisi? Bagaimana dengan ratusan juta umat Islam di seluruh dunia yang menganut Islam secara tradisi masa kini?

Dalam blognya, Nik Aziz berkata: "Saya sesungguhnya tidak faham dengan pendirian Umno yang mengaku Islam tetapi dalam masa yang sama menolak Islam. Pada saya, Islam jenis ini setaraf dengan penduduk setinggan yang menduduki sesuatu tempat secara haram. Jika rumah setinggan didirikan di atas bahu jalan atau tanah-tanah kerajaan yang lain maka pihak kerajaan ada hak untuk meroboh, menghalau atau mengenakan denda. Sikap pemimpin Umno boleh kita analogikan seperti kes setinggan ini."

Untuk pengundi di Permatang Pasir, beliau berkata: "Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah yang saya namakan sebagai Islam palsu."

Ini antara ungkapan dan pendirian Nik Aziz terhadap Umno atau taraf Islam yang dianuti ahli Umno. Sebenarnya banyak lagi kenyataan Nik Aziz yang diucapkan sewenang-wenangnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...