Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Malaysia seorang presiden parti terpaksa merayu untuk mendapatkan kerusi untuk bertanding kecuali dalam PKR.
Begitulah yang terjadi kepada Presiden PKR, Wan Azizah Ismail apabila hasrat beliau untuk bertanding di peringkat negeri pada pilihan raya umum akan datang disambut dingin oleh pemimpin-pemimpin partinya sendiri.
Bukan sahaja dingin malah ada sesetengah pemimpin PKR seperti Timbalan Presiden menunjukkan sikap antagonis terhadap cadangan presidennya sendiri.
Sepatutnya seorang presiden parti politik mempunyai kuasa besar dalam perjalanan organisasinya.
Lihat daripada apa yang pernah berlaku di dalam kemelut parti-parti politik di negara ini, presiden mempunyai kuasa untuk memecat anggota parti, mengenakan tindakan disiplin, menentukan calon-calon yang sekepalanya dengannya dalam pemilihan parti dan sebagainya.
Bila datang musim pilihan raya, presiden juga punyai kuasai mutlak dan pemutus untuk menentukan siapakah yang bakal menduduki kerusi Yang Berhormat dan senarai calon-calon wajib melalui kelulusan dan tangannya.
Sebagai presiden beliau juga berotoriti untuk memilih mana-mana sahaja kawasan yang difikirkan selamat dan sesuai untuk bertanding samada di negeri atau parlimen.
Selagi tindakannya berlandaskan peraturan parti dan amalan proses demokrasi, tidak siapa boleh menentang kehendak atau kemahuannya kerana ia adalah presiden yang mempunyai kuasa yang luas.
Berlainan pula apa yang berlaku di dalam PKR, sebuah parti yang mendabik dada kononnya membawa 'politik baru' dan 'harapan baru bagi Malaysia' yang berlandaskan nilai-nilai perjuangan 'reformasi jalanan'.
Ini kerana kuasa dalam PKR terletak di tangan Anwar sebagai Ketua Umum, sat jawatan yang dilantik dan tidak boleh ditandingi.
Wan Azizah sebagai presiden hanya atas nama sahaja dan berperanan lebih kepada tunggul dan boneka yang tidak ada kuasa atau mampu membuat sebarang keputusan.
Pengorbanannya selama 14 tahun menerajui PKR seolah-olah tidak dihargai langsung malah peranannya juga dipandang sepi.
Beliau mengorbankan kerusi parlimen Permatang Pauh demi suami tetapi Anwar Ibrahim juga tidak memberi sokongan apabila si isteri meluahkan keinginan untuk bertanding semula.
Apatah lagi seteru politik Wan Azizah, Azmin Ali siang-siang lagi sudah mengenakan pelbagai syarat kepada presidennya sendiri jika ingin menjejak kaki di Selangor sebagai calon.
Malah ada ura-ura dan niat jahat Azmin untuk meletakkan Wan Azizah bertanding di DUN Sementa, sebuah kubu kuat Umno-BN.
Mungkin tujuan Azmin mahu menamatkan karier politik bos politiknya kerana tahu Wan Azizah akan diganyang dan dimalukan di Sementa.
AMK Pulau Pinang pula bersikap hangat-hangat tahi ayam menunjukkan simpati dengan nasib presiden dengan juga menawarkan kerusi.
Ini semuanya adalah permainan silap mata oleh Azmin dan kroni-kroninya.
Isu niat Wan Azizah mahu bertanding sebenarnya membongkar konflik amat serius dalam PKR antara dua puak yang bertelagah berebut kuasa.
Di satu pihak ialah puak presiden yang didokong oleh anaknya Nurul Izzah serta mendapat sokongan kuat Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, Setpol MB Faekah Husin, dan lain-lain pemimpin yang tidak sehaluan dengan Azmin seperti Dr Syed Husin, Tian Chua dan Sivarasa.
Puak Azmin pula menjadi golongan majoriti yang memegang kuasa dan jawatan di dalam PKR tetapi mendapat tentangan hebat di Selangor disebabkan halangan oleh Khalid dan Faekah.
Selangor satu-satunya negeri yang dikuasai oleh PKR serta diterajui oleh Azmin sebagai pengerusi negeri namun segala kontrak lumayan dan projek berjuta-juta ringgit dinikmati oleh kumpulan MB dan kroni-kroninya.
Faekah, seorang kroni rapat Wan Azizah dikatakan mendapat bermacam-macam habuan seperti projek-projek infrastruktur, tanah, pasir, stesen minyak, lesen-lesen, termasuk juga memonopoli penyediaan khidmat guaman kepada anak-anak syarikat di bawah MBI.
Azmin yang mengharapkan jawatan sebagai bos PKR di Selangor membolehkan beliau mengaut kekayaan terpaksa berputih mata dan menggigit jari melihat semuanya dibolot oleh kumpulan yang menyokong Wan Azizah.
Inilah punca Azmin melayan presidennya macam sampah apabila beliau mahu bertanding di Selangor.
Wan Azizah di mata Azmin hanyalah penghalang kepada cita-citanya untuk menguasai PKR dan oleh kerana itu harus dikorbankan walaupun yang hendak dimangsakan itu adalah isteri idolnya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan