Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Khamis, 26 Julai 2012

Hua Zong: Cina Dahulu, Malaysia Kemudian

 


Pheng Yin Huah, Presiden Hua Zong Association baru-baru ini membuat kenyataan mengenai konsep Sekolah Satu Aliran yang dikatakannya menyalahi Perlembagaan Negara sebagai menempelak kenyataan saudara Khairy Jamaluddin yang mempersoalkan sekolah vernakular.  Kenyataan Yin Huah jelas menunjukkan sikap 'Cina dahulu, Malaysia kemudian'.  

Nampaknya, Hua Zong, seperti juga Dong Zong adalah ektremis rasis tegar yang berpegang teguh kepada semangat keCinaan tanpa mengambil kira realiti dan akibat terhadap negara.  

Apabila kita bercakap tentang sistem persekolahan, kita bukan hanya bercakap mengenai pendidikan tetapi juga perpaduan.  Hanya mereka hipokrit sahaja yang enggan mengakui hakikat bahawa sistem persekolahan yang berasinganlah yang menyumbang kepada masalah perkauman hari ini.  

Tindakan Pheng Yin Huah merujuk kepada Perlembagaan bagi menguatkan hujah hipokritnya amatlah mengecewakan.  

Menurut perlembagaan Malaysia, 'tiada seorang pun yang harus dihalang dari menggunakan, atau mengajar atau belajar bahasa lain'.  Ertinya, semua kaum bebas menggunakan dan belajar bahasa ibunda masing-masing.  

Namun, bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia adalah wajib bagi semua dan merupakan bahasa rasmi.  Kata pepatah, bahasa menunjukkan bangsa, maka Bahasa Malaysia adalah untuk bangsa Malaysia iaitu selaras dengan konsep 1Malaysia.  

Bahasa dan pendidikan yang sepadu adalah penting bagi membentuk perpaduan dalam negara.  Kerana itu, kita melihat tiada kerajaan di dunia yang membenarkan sekolah berasingan untuk kaum-kaum yang berbeza, selain di Malaysia.  

Dan ternyata, apa yang diamalkan Malaysia ini adalah tidak baik dan kewujudan Hua Zong serta Dong Zong, adalah buktinya.  

Jika rakyat dididik di bawah satu bumbung, iaitu dalam satu aliran, pastinya puak ekstremis seperti Hua Zong, Dong Zong mahupun Perkasa tidak akan wujud.  Tetapi, malangnya, akibat kedegilan puak-puak ekstremis Cina ini, maka Perkasa pun lahir bagi mengimbangi tuntutan atau pun kebiadapan mereka. Sekali gus mencetus pertembungan yang mampu mengancam kestabilan negara. 

Jika masalah Hua Zong adalah risiko bahasa Mandarin terhapus, maka sekolah vernacular bukan satu-satunya penyelesaian kerana bahasa tersebut boleh dipelajari selepas waktu sekolah sepertimana anak-anak Melayu belajar agama.  

Dari segi ekonomi juga, sekolah-sekolah berasingan tidak membawa apa-apa keuntungan, malah lebih banyak kerugian.  Tidak perlu pergi jauh ke ladang untuk melihat bagaimana sekolah Tamil terpaksa diteruskan dengan kos utiliti dan infrastruktur yang tinggi semata-mata untuk menampung beberapa kerat murid dan guru.  Di Subang Jaya sendiri, terdapat sebuah sekolah Tamil yang letaknya betul-betul di sebelah sekolah kebangsaan tetapi hanya mempunyai beberapa orang murid.  Pastinya, kos utiliti, penyelenggaraan, infrastruktur, gaji guru, staff dan berbagai-bagai lagi untuk sekolah ini ditanggung oleh kerajaan.  Sedangkan jika sekolah Tamil tersebut tidak wujud dan murid-murid Tamil belajar di sekolah kebangsaan, tentulah semua kos ini dapat dikurangkan.  

Pendek kata, sekolah vernacular bukan sahaja merugikan dari segi sosial tetapi juga dari segi kewangan.   

Namun, penulis rasa adalah satu yang sia-sia untuk menghuraikan segala statistic atau fakta bagi menjelaskan hujah bahawa sekolah satu aliran adalah yang terbaik untuk Malaysia seperti juga semua negara di dunia.  Ini  kerana penulis tahu bahawa Hua Zong, Dong Zong atau Dong Jiao Zong hanya akan memekakkan telinga.  Sikap kiasu mereka tidak membenarkan mereka mengalah atau berundur walau setapak walaupun itulah yang terbaik untuk semua.  Mereka telah diasuh dan dididik di sekolah-sekolah vernakular dengan sifat chauvinis yang hanya mementingkan kebaikan untuk kaum mereka serta mempersetankan kesan atau akibat kepada orang lain mahupun negara sendiri.  

Oleh itu, kewujudan pertubuhan-pertubuhan ektremis Cina yang bertopengkan 'pendidikan' ini harus diberi perhatian serius oleh kerajaan jika benar-benar ingin merealisasikan slogan 1Malaysia.  Tidak wajar mereka ditangani dengan diplomasi atau professional kerana jelas, mereka tidak terdidik dengan cara itu.  Cara mereka adalah cara samseng, cara kongsi gelap yang memeras ugut dan menuntut segala-galanya sehingga mereka merasa puas, sepuas-puasnya. 




PAS Buang Ulama, UMNO Ambil Ulama




Tidak berapa lama dulu, PAS pernah dikenali sebagai parti alim ulama berikutan ramainya para ulama pondok dan ilmuan agama lulusan dari Timur Tengah yang lebih selesa berjuang dari dalam PAS berbanding bersama dengan UMNO.

Bagaimanapun beberapa tahun kebelakangan ini, trend sedemikian seperti sudah berubah arah apabila para ulama dan tok guru pondok kini kelihatan semakin menjauhi PAS dimasa yang sama dilihat semakin mesra pula dengan UMNO.

Sikap PAS yang semakin angkuh dan bongkak dalam mengejar kuasa termasuk sanggup menggadai prinsip dan dasar perjuangan Islam termasuk kerap tunduk pada tekanan rakan sepakatan dari pembangkang turut menyumbang ke arah perubahan trend tersebut.

Di Kelantan umpamanya, sebahagian besar tok guru pondok sudah tidak lagi sanggup bersekongkol dengan PAS yang dilihat melebih-lebihkan dunia hingga lupa matlamat sebenar untuk mendaulatkan Islam dan hukum hakamnya.

Jika dulu pandangan dan nasihat tok guru pondok sering menjadi rujukan pemimpin PAS dalam sesatu isu, kini peranan tok guru pondok tidak lebih sekadar sebagai tukang baca doa dan adakalanya menjadi tok imam untuk program politik yang berselindung disebalik majlis 'solat hajat perdana'. 

Tambahan pula semenjak sebahagian besar pimpinannya dikuasai oleh puak liberal yang dikenali sebagai Anwarinas ataupun Erdogan, rentak hala tuju PAS juga kian liberal manakala suara-suara golongan ulama parti pula semakin tenggelam.

Pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS dalam isu kalimah Allah s.w.t misalnya, sengaja dibakul sampahkan sahaja hanya semata-mata hati dan perasaan pemimpin DAP dan pengundi kristian pro DAP dilihat lebih utama untuk kepentingan mengejar kuasa duniawi.

Malah, apabila ramai pimpinan utamanya yang berlatar belakangkan agama sengaja dipinggirkan dalam perebutan jawatan parti, ia mengesahkan lagi yang PAS kini sudah melalui zaman perubahan total yang meletakkan para ulama dalam PAS kini hanyalah umpama kain buruk sahaja.

PAS lebih selesa dengan rentak baru haluannya yang lebih bebas tanpa kawalan dan teguran dari ulama dalam parti, meletakkannya kini seakan sama seperti PKR dan DAP walaupun tarafnya masih bersifat balaci. 

Tika PAS berubah sikap secara drastik membuang satu demi satu pemimpin berlatarbelakang agama dan mula meminggirkan suara ulama-ulamanya, UMNO pula mengorak langkah memperkukuhkan suara alim ulama supaya lebih memainkan peranan dalam parti dan kerajaan.

Bagi PAS, para ulama dan tok guru pondok seakan sudah tiada nilai untuk dimanfaatkan sebaliknya kemunculan beberapa artis perempuan yang suatu ketika dulu meliuk-liuk tubuhnya bergaya seksi di depan kamera kini dilihat lebih berharga untuk memancing undi muda mudi.


Jasa Najib di Usia 59 Tahun

 

YAB Dato' Seri Najib mungkin baru 3 tahun memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia, namun jasa-jasa beliau kepada rakyat dan negara begitu banyak dan sukar untuk disenaraikan.   

Bermula dari usia 22 tahun, Najib telah pun menjadi Ahli Parlimen sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dan kemudiannya Timbalan Menteri Pelajaran serta Timbalan Menteri Kewangan.  Ini bermakna, di usia yang begitu muda, Dato' Seri Najib telah pun menabur jasa kepada rakyat melalui portfolio-portfolio yang dipegangnya.  

Kewibawaan, kesungguhan dan keikhlasan beliau berkhidmat telah mendapat perhatian Perdana Menteri pada ketika itu, iaitu Dr. Mahathir Mohamad yang kemudiannya mencalonkan beliau ke kerusi DUN Pekan yang membawa kepada perlantikannya sebagai Menteri Besar Pahang di usia 29 tahun.  

Lanjutan dari itu, Najib sebagai Menteri Besar menjadi antara tokoh perintis Yayasan Pahang bagi mempromosi pendidikan dan sukan di kalangan belia melalui biasiswa dan dana.   Beliau juga berjaya menjana pendapatan negeri melalui sumber semulajadi dan kerjasama dengan FELDA, dengan membuka jalan untuk skim pendudukan tanah baru bagi memberi peluang pendapatan kepada golongan miskin dan tidak memiliki tanah.  

Selain menyumbang melalui politik, Najib yang dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Penternakan, Majuternak, telah menggunakan sepenuh peluangnya di sana untuk mencari idea-idea baru bagi membantu para penternak.  

Dan apabila beliau memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, kesungguhan beliau meningkatkan mutu sukan negara ternyata membawa hasil apabila Malaysia berjaya menunjukkan pencapaian terbaik di Sukan SEA 1989 yang diadakan di Kuala Lumpur.  

Pada tahun 1991, Najib dilantik menjadi Menteri Pertahanan dan sehingga kini beliau tetap dianggap sebagai Menteri Pertahanan terbaik bagi Malaysia. Beliau memodenkan dan meningkatkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia melalui berbagai latihan dan peralatan terkini.  

Setelah kementerian tersebut berada di tahap yang membanggakan beliau diberi pula tanggungjawab untuk menerajui Kementerian Pelajaran.  Di sini, beliau mengstruktur semula dan mengswastakan universiti awam serta menggalakkan kerjasama dengan universiti luar negara.  Antara jasa beliau di kementerian ini yang dapat dinikmati secara langsung oleh para guru hari ini ialah menaiktaraf sijil pendidikan kepada diploma bagi menaikkan tanggagaji guru-guru.  

Khidmat Najib sebagai Menteri Pertahanan sekali lagi diperlukan pada tahun 1995.  Beliau pun mengambil peluang ini untuk meningkatkan moral Angkatan Tentera Malaysia yang telah sedia dihormati dunia, dengan memperkenalkan skim perumahan yang lebih baik, pengstukturan semula elaun dan juga pendapatan mereka.  

Jelas, jasa-jasa Dato' Seri Najib sebelum menjadi Perdana Menteri juga sudah tidak terhingga banyaknya.  

Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, dan sejak itu, beliau langsung tidak membuang masa untuk bekerja.  Dalam masa hanya 3 tahun, idea transformasinya ternyata berjaya dilaksanakan, malah berjaya membuahkan hasil dan bukannya hanya slogan kosong.  

Beliau pantas memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) bagi meningkatkan kualiti, kecekapan dan ketelusan dalam sektor perkhidmatan awam dan kerajaan.  KPI diperkenalkan bagi mengukur tahap pencapaian pegawai dan juga agensi-agensi kerajaan.   

Selain itu, National Key Result Areas (NKRA) diumumkan sebagai garis perancangan untuk menangani 7 perkara yang melibatkan rakyat dan negara, iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan pencapaian pelajar, menaikkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah, meningkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar, memastikan bekalan air bersih dan dirawat, meningkatkan sistem pengangkutan awam di bandar dan menangani masalah kos sara hidup.  

Kesemua ini telah dan sedang berjalan lancar manakala sebahagian besarnya telah pun menunjukkan hasil yang memuaskan.  Ternyata, beliau adalah seorang yang mengotakan apa yang dikata dan tanpa membuang masa.  

Kempen 1Malaysia yang dilancarkan beliau juga mendapat tempat di hati rakyat yang rata-ratanya menyokong perpaduan di bawah nama satu bangsa.  

Dalam masa tiga tahun pemerintahan beliau juga, Najib berjaya mengekalkan kekukuhan ekonomi Malaysia bermula dengan lonjakan paling tinggi dalam GDP sehingga 5.9% pada September 2009 dari rekod yang rendah pada Mac 2009 iaitu -7.6% sebelum beliau pengambil-alihan tampuk pemerintahan 

Kestabilan politik dan ekonomi dalam negara hasil dari kepimpinan Najib, telah membolehkan kerajaan mengumumkan bantuan-bantuan bersifat langsung kepada rakyat, antaranya BR1M, KR1M, TR1M, Klinik 1Malaysia dan berbagai-bagai lagi.  

Berdasarkan fakta di atas, pendek kata, sejurus selepas mencapai usia dewasa, iaitu di awal 20-an, Najib telah tidak berhenti-henti menabur jasa kepada rakyat. Namun, di usia 59 tahun hari ini, Najib tidak langsung menganggap kedudukannya sebagai balasan kepada jasa-jasanya tetapi mengambil sikap seolah-olah beliau pula yang terhutang budi dengan rakyat kerana memberi keyakinan kepadanya.  Justeru itu, beliau terus tegap bersemangat untuk berkhidmat dan menabur jasa tanpa merasa jemu atau letih.  

Sesungguhnya tidak seorang pun dari rakyat Malaysia yang mampu menafikan segala jasa-jasa beliau walaupun mereka mungkin merupakan penyokong pembangkang.  Tiada siapa boleh menafikan yang mereka menerima wang tunai serta bantuan langsung dari berbagai-bagai program yang diilhamkan Najib.  

Sememangnya, sudah menjadi tuntutan agama dan moral bagi kita semua untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau atas segala jasa yang dicurahkan.  Dengan itu, kita mendoakan agar Dato' Seri Najib dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik agar dapat terus berkhidmat kepada negara dan juga rakyat.  

Selamat Ulang Tahun, Dato' Seri Najib, Perdana Menteri yang dikasihi lagi dihormati!


AZMIN LAYAN WAN AZIZAH MACAM SAMPAH

 

Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Malaysia seorang presiden parti terpaksa merayu untuk mendapatkan kerusi untuk bertanding kecuali dalam PKR.

Begitulah yang terjadi kepada Presiden PKR, Wan Azizah Ismail apabila hasrat beliau untuk bertanding di peringkat negeri pada pilihan raya umum akan datang disambut dingin oleh pemimpin-pemimpin partinya sendiri.

Bukan sahaja dingin malah ada sesetengah pemimpin PKR seperti Timbalan Presiden menunjukkan sikap antagonis terhadap cadangan presidennya sendiri.

Sepatutnya seorang presiden parti politik mempunyai kuasa besar dalam perjalanan organisasinya.

Lihat daripada apa yang pernah berlaku di dalam kemelut parti-parti politik di negara ini, presiden mempunyai kuasa untuk memecat anggota parti, mengenakan tindakan disiplin, menentukan calon-calon yang sekepalanya dengannya dalam pemilihan parti dan sebagainya.

Bila datang musim pilihan raya, presiden juga punyai kuasai mutlak dan pemutus untuk menentukan siapakah yang bakal menduduki kerusi Yang Berhormat dan senarai calon-calon wajib melalui kelulusan dan tangannya.

Sebagai presiden beliau juga berotoriti untuk memilih mana-mana sahaja kawasan yang difikirkan selamat dan sesuai untuk bertanding samada di negeri atau parlimen.

Selagi tindakannya berlandaskan peraturan parti dan amalan proses demokrasi, tidak siapa boleh menentang kehendak atau kemahuannya kerana ia adalah presiden yang mempunyai kuasa yang luas.

Berlainan pula apa yang berlaku di dalam PKR, sebuah parti yang mendabik dada kononnya membawa 'politik baru' dan 'harapan baru bagi Malaysia' yang berlandaskan nilai-nilai perjuangan 'reformasi jalanan'.

Ini kerana kuasa dalam PKR terletak di tangan Anwar sebagai Ketua Umum, sat jawatan yang dilantik dan tidak boleh ditandingi.

Wan Azizah sebagai presiden hanya atas nama sahaja dan berperanan lebih kepada tunggul dan boneka yang tidak ada kuasa atau mampu membuat sebarang keputusan. 

Pengorbanannya selama 14 tahun menerajui PKR seolah-olah tidak dihargai langsung malah peranannya juga dipandang sepi.

Beliau mengorbankan kerusi parlimen Permatang Pauh demi suami tetapi Anwar Ibrahim juga tidak memberi sokongan apabila si isteri meluahkan keinginan untuk bertanding semula.

Apatah lagi seteru politik Wan Azizah, Azmin Ali siang-siang lagi sudah mengenakan pelbagai syarat kepada presidennya sendiri jika ingin menjejak kaki di Selangor sebagai calon.

Malah ada ura-ura dan niat jahat Azmin untuk meletakkan Wan Azizah bertanding di DUN Sementa, sebuah kubu kuat Umno-BN. 

Mungkin tujuan Azmin mahu menamatkan karier politik bos politiknya kerana tahu Wan Azizah akan diganyang dan dimalukan di Sementa.

AMK Pulau Pinang pula bersikap hangat-hangat tahi ayam menunjukkan simpati dengan nasib presiden dengan juga menawarkan kerusi.

Ini semuanya adalah permainan silap mata oleh Azmin dan kroni-kroninya.

Isu niat Wan Azizah mahu bertanding sebenarnya membongkar konflik amat serius dalam PKR antara dua puak yang bertelagah berebut kuasa.

Di satu pihak ialah puak presiden yang didokong oleh anaknya Nurul Izzah serta mendapat sokongan kuat Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim, Setpol MB Faekah Husin, dan lain-lain pemimpin yang tidak sehaluan dengan Azmin seperti Dr Syed Husin, Tian Chua dan Sivarasa.

Puak Azmin pula menjadi golongan majoriti yang memegang kuasa dan jawatan di dalam PKR tetapi mendapat tentangan hebat di Selangor disebabkan halangan oleh Khalid dan Faekah.

Selangor satu-satunya negeri yang dikuasai oleh PKR serta diterajui oleh Azmin sebagai pengerusi negeri namun segala kontrak lumayan dan projek berjuta-juta ringgit dinikmati oleh kumpulan MB dan kroni-kroninya.

Faekah, seorang kroni rapat Wan Azizah dikatakan mendapat bermacam-macam habuan seperti projek-projek infrastruktur, tanah, pasir, stesen minyak, lesen-lesen, termasuk juga memonopoli penyediaan khidmat guaman kepada anak-anak syarikat di bawah MBI. 

Azmin yang mengharapkan jawatan sebagai bos PKR di Selangor membolehkan beliau mengaut kekayaan terpaksa berputih mata dan menggigit jari melihat semuanya dibolot oleh kumpulan yang menyokong Wan Azizah.

Inilah punca Azmin melayan presidennya macam sampah apabila beliau mahu bertanding di Selangor.

Wan Azizah di mata Azmin hanyalah penghalang kepada cita-citanya untuk menguasai PKR dan oleh kerana itu harus dikorbankan walaupun yang hendak dimangsakan itu adalah isteri idolnya sendiri.




Isnin, 23 Julai 2012

MB Arah Jual Saham FGVH: Bukti Kedah Tak Pandai Berniaga




Demi menjaga 'air muka' partinya, Dato' Seri Azizan Razak membuat kanyataan merelakan PKNK melepaskan 'tuah' dan membiarkan negeri kerugian. 

Walaubagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana selama ini juga PAS sentiasa mendahulukan politik daripada rakyat, mahupun agama.  

Alasan Azizan bahawa pembelian saham tersebut adalah 'masalah teknikal' membuktikan cakap-cakap orang selama ini bahawa beliau sememangnya tidak tahu apa-apa.   Kerana tidak mengambil tahu apa-apa termasuk apa yang berlaku di dalam organisasi di bawah kawalannya, negerinya malah partinya, membuatkan Azizan seringkali terhantuk baru tergadah. 

Mungkinkah Azizan tidak tahu bahawa beliau merupakan Pengerusi PKNK? Bagaimana seorang Pengerusi merangkap Menteri Besar boleh terlepas pandang akan pelaburan berjumlah RM2 juta lebih yang dilakukan oleh organisasi utama kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk menjana pembangunan sosio ekonomi negeri?

Bagaimana satu keputusan yang baik ditafsir sebagai 'masalah teknikal'?  

Sebenarnya, 'masalah' di sini bukan pembelian saham tersebut, tetapi Azizan itu sendiri. 

Azizan sendiri keliru atau mungkin terpinga-pinga apabila disoal mengenai perkara ini.  Ini dapat dilihat dalam jawapan beliau yang menyatakan bahawa keputusan PKNK itu tidak bercanggah dengan PR, sedangkan isu besar di sini ialah 'PR menentang keras penyenaraian Felda'.   Justeru bagaimana beliau dapat menjelaskan 'tiada pertentangan' antara keputusan PKNK dengan PR? 

Malah Azizan juga seolah-olah memberi jawapan tidak yakin dan tidak tegas bila menyatakan yang beliau "menyerahkan kepada PKNK untuk mempertimbangkan dan membuat keputusan selanjutnya termasuk untuk menjual saham tersebut."  Nampaknya Azizan tidak dapat atau tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan dan mengembalikan persoalan tersebut ke bahu PKNK.  Walhal, peneraju utama PKNK adalah beliau sendiri. 

Tidak mungkin PKNK tidak pernah mengadakan mesyuarat dengan Pengerusinya dan tidak mungkin Pengerusi tidak diberitahu mengenai pembelian saham yang menjadi kontroversi.   Sebagai Pengerusi, Azizan sewajarnya duduk bersama Ketua Eksekutif PKNK sama-sama meneliti dan menganalisis saham FGVH sebelum membuat keputusan. 

Kita faham bahawa PKNK bukan satu-satunya organisasi yang dibawah tanggungjawab Azizan tetapi PKNK adalah organisasi paling  utama, atau nadi bagi negeri Kedah.  Justeru, tidak ada alasan bagi Azizan untuk terlepas pandang akan hal-hal yang melibatkan PKNK terutama yang membabitkan jumlah wang lebih RM2 juta.  Kita sedia maklum bahawa kewangan negeri Kedah berada di tahap kronik dan jumlah RM2 juta adalah besar bagi negeri tersebut. 

Apalah nasib negeri Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besar yang tidak tahu apa-apa.  Sudahlah tiada satu pun projek yang mampu menjana pendapatan negeri yang dapat dilaksanakan dan kini untuk melabur atau berniaga juga mendapat halangan. 

Sepatutnya, Azizan membuat keputusan yang terbaik untuk negeri dan rakyatnya, bukan partinya.  Rakyat memilih beliau untuk menjaga kebajikan mereka dan juga mentadbir negeri, bukannya parti.  Justeru, beliau wajar memikirkan semasak-masaknya kepentingan siapa yang perlu diutamakan.  Dengan meletakkan kepentingan politik mendahului rakyat dan negeri, serta meletakkan tanggungjawab sendiri ke atas bahu orang lain, maka Azizan telah dengan sendirinya menunjukkan yang beliau tidak layak duduk di kerusi Pengerui PKNK mahupun kerusi Menteri Besar.

PAS Tidak Bersekongkol Tetapi Cuma Bekerjasama Dengan DAP – Nasrudin Tantawi



Akhbar Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi berkenaan hubungan PAS dengan DAP yang mana beliau menegaskan bahawa Pas tidak pernah bersekongkol dengan DAP kerana ia adalah tahaluf siasi.  Tetapi, beliau mengakui bahawa PAS bekerjasama dengan DAP kerana politik. 

Kita faham bahawa Nasrudin bercakap atas kapasiti beliau sebagai ahli politik dan bukannya agamawan dan kerana itu beliau merasa selesa bermain dengan kata-kata tanpa menghiraukan maknanya.  Dengan menggunakan perkataan 'bekerjasama' dan bukan 'bersekongkol', maka Nasrudin menyangka yang PAS akan terlepas dari dikaitkan dengan agenda DAP. 

Perkataan-perkataan seperti bersekongkol, berkomplot, berkonspirasi sebenarnya membawa kepada perlaksanaan yang serupa dengan bekerjasama.

Beza kedua-dua perkataan ini hanyalah dari segi 'niat' di mana 'sekongkol' merujuk kepada satu pakatan yang berniat jahat dan 'kerjasama' pula merujuk kepada satu-satu pakatan secara umum. 

Oleh itu, kedua-dua perkataan membawa pengertian yang sama iaitu 'berpakat, berganding-bahu, bertoleransi dan saling bantu-membantu untuk mencapai matlamat masing-masing'. 

Dalam konteks politik PAS dan DAP, dan seperti yang diakui oleh Nasrudin, adalah jelas bahawa matlamat masing-masing hanyalah untuk menang pilihanraya.  Pastinya kerana PAS dan DAP ingin mencatur semula politik Malaysia mengikut acuan mereka. 

Maka di sinilah terletaknya masalah dalam penjelasan atau 'tafsiran' Nasrudin mengenai hubungan PAS-DAP.   Iaitu, walaupun matlamat kedua-dua parti adalah sama tetapi acuan mereka amat bertentangan.  Malah Nasrudin sendiri enggan atau tidak sanggup mengaku yang PAS berkongsi agenda yang sama atau 'bersekongkol' dengan DAP.

Kita sedia maklum bahawa acuan DAP adalah Malaysian Malaysia di mana ia menjulang kesamarataan total (ala DAP).  Ini bermakna, semua agama adalah sama dan Islam tidak harus menjadi agama rasmi sekali gus persoalan mengenai undang-undang Islam, cara hidup Islam, hudud dan sebagainya adalah tidak relevan sama sekali.  Selain itu, DAP juga diketahui mengambil sikap memperlekeh dan menentang Institusi Raja-raja Melayu. 

Bagaimanapun, atas dasar kerjasama seperti yang diakui Nasrudin, kedua-dua parti ini tetap saling bantu membantu untuk memenangkan masing-masing dalam pilihanraya walaupun matlamat mereka bertentangan. 

Ini bermakna, PAS membantu DAP menang, DAP membantu PAS menang, kemenangan PAS adalah kemenangan DAP dan mengundi PAS adalah sama ertinya dengan mengundi DAP.  

Dalam ertikata lain, PAS bertanggungjawab membantu DAP membentuk negara ini mengikut acuan DAP.   

Benar, ada kemungkinan DAP tidak mampu membentuk negara ini mengikut acuannya dan sebaliknya PAS yang berjaya memaksa acuan mereka ke atas DAP. 

Tetapi, ini hanyalah satu kemungkinan kecil.

Jika dilihat dari segi kebarangkalian matematik, jumlah PAS mengalah kepada DAP dalam isu-isu di mana mereka bertelagah pendapat adalah jauh lebih besar dari jumlah DAP mengalah kepada PAS.   

Antaranya, hudud, Negara Islam, isu judi, arak, rumah urut dan murtad, keputusannya ialah DAP-5, PAS-0,.  Di kala PAS sanggup menggadaikan Negara Islam, DAP pula sanggup 'berjihad' dan mati menentangnya.   Hakikatnya, DAP tidak pernah mengalah atau berundur walau se-inci pun dalam 'semangat' kerjasamanya dengan PAS. 

Justeru, adalah hampir mustahil yang DAP akan akur kepada agenda PAS andainya Pakatan Rakyat berjaya memenangi pilihanraya. 

Kesimpulannya, 'kerjasama' atau 'persekongkolan' atau 'pakatan' atau apa saja perkataan yang digunakan oleh Nasrudin untuk menjelaskan hubungan PAS-DAP, hanya akan menguntungkan DAP.  

Dengan itu, Nasrudin harus sedar, bahawa PAS tidak akan berjaya menghapuskan imej parti itu sebagai balaci, barua dan anjing suruhan DAP hanya dengan menggunakan perkataan berbeza tetapi mempunyai maksud perlaksanaan yang sama, dalam menerangkan hubungan mereka.

Khamis, 19 Julai 2012

PAS MALU BESAR PENEROKA TIDAK SOKONG HIMPUNAN OREN





Pemimpin PAS terkedu dan menerima tamparan hebat apabila warga Felda menolak untuk menyertai Himpunan Oren anjuran parti itu Sabtu lalu.

Selama hampir sebulan, media rasmi PAS, Harakah mewar-warkan penganjuran demonstrasi tersebut sebagai tindakan menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) dengan mensasarkan penyertaan lebih 20,000 golongan peneroka.

Akhirnya yang dikejar tak dapat,yang dikendong berciciran kerana bukan sahaja tidak ada warga Felda yang menyertai Himpunan Oren tersebut, malah ahli PAS yang dikerah dari seluruh pelusuk negara pun tidak lebih daripada 2,000 orang.

Sebenarnya sekalung ucapan tahniah dan pujian harus diberikan kepada peneroka diseluruh negara kerana bijak membezakan antara kenyataan kemajuan jelas yang telah diusahakan di bawah kerajaan Barisan Nasional sejak ia ditubuhkan dan janji palsu pihak PAS dan pembangkang.

PAS tidak dapat menerima hakikat bahawa penyenaraian FGVH merupakan tawaran awam awal kedua terbesar didunia selepas pengapungan Facebook Inc.

Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, penyenaraian FGVH adalah saru rahmat besar bagi 112,635 peneroka di seluruh negara.

Sejak diasaskan oleh ayahanda Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdul Razak Hussien 56 tahun lalu, Felda telah berkembang pesat dan berjaya meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu di negara sendiri.

Daripada menjadi bangsa yang miskin dan tidak memiliki tanah dan aset, kini orang Melayu boleh berbangga dan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain.

Tidak lagi Melayu dilihat oleh kaum Cina dan India sebagai kaum bangsat yang merempat di tanah air mereka sendiri.

Tindakan Perdana Menteri menyenaraikan FGVH adalah langkah bijak serta menjadi satu lagi tanda aras kejayaan atau 'milestone' dalam sejarah panjang Felda.

Setelah penat lelah serta membanting tulang empat kerat mengusahakan tanah mereka selama lebih 30 tahun, kini peneroka biberi peluang pula memiliki pegangan saham dalam salah sebuah syarikat perladangan terbesar di dunia.

Masa depan yang cerah bagi sektor perladangan dengan unjuran permintaan yang semakin meningkat bagi minyak sawit bermakna saham peneroka di dalam FGVH akan mempunyai nilai yang lebih tinggi.

Bagaimanapun semua kejayaan Felda yang dikecapi oleh golongan peneroka (termasuk juga ramai ahli PAS!) tidak bermakna bagi PAS kerana parti itu hanya melihat kepentingan politik sempat parti itu dan bukannya kepentingan bangsa Melayu.

PAS juga malu apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Kedah, yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat bertindak membeli 500,000 unit saham FGVH.

Malah Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata keputusan PKNK mungkin berdasarkan faktor keuntungan dan bukan pegangan politik.

Apabila dilihat memberi keuntungan, pemimpin PAS dengan segera boleh mengeluarkan fatwa menghalalkan sesuatu yang sebelumnya haram baginya!

Himpunan Oren yang gagal itu juga memperlihatkan sikap bermuka-muka parti rasis DAP yang menepuk dada sebagai pejuang bangsa Melayu.

Jika benar dakwaan PAS penyenaraian FGVH merugikan orang Melayu, mengapa satu batang hidung pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng tidak kelihatan pada himpunan tersebut?

PAS sanggup bersekongkol dengan parti anti-Melayu itu demi kepentingan politiknya tetapi dalam banyak hal DAP sebenarnya tidak menyokong PAS, termasuklah Himpunan Oren yang dianjurkan.

PAS menghasut warga peneroka Felda untuk menentang kerajaan kononnya atas kepentingan Melayu tetapi mereka lupa melihat diri dalam cermin sebelum menuding jari mencari kesalahan pihak lain.

Mungkin pemimpin PAS seperti Abdul Hadi, Nik Aziz dan Mat Sabu boleh jelaskan ke mana perginya dana RM50 juta hasil pelaburan 20,000 anggota parti di dalam Koperasi Al-Hilal milik parti itu?

Ke mana lesapnya wang ahli PAS yang sebegitu banyak?

Alasan yang diberi ialah kegagalan pelaburan atau ini hanyalah sandiwara pak lebai untuk menutup skandal pemimpin PAS yang menyonglap wang tersebut?

Bak kata pepatah, PAS ibarat ayam yang berkokok berderai-derai tapi ekor bergelumang dengan tahi; mengata orang itu dan ini, tidak betul, tidak Islamik tetapi diri sendiri penuh dengan kecacatan dan keburukan yang tidak mampu diselindungi lagi. 








Tanah Bawah Air: Khalid Ibrahim & Tony Phua Sah Menipu





DALAM cuba mempertahankan tindakan kerajaan Selangor membeli tanah milik Talam yang 80% daripadanya berada di bawah air, Menteri Besar Khalid Ibrahim dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua telah menipu rakyat Malaysia dan Selangor khasnya dengan mendakwa Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti telah membuat penilaian mengenai harga tanah tersebut.

Pendek kata DAP dan kerajaan negeri Selangor cuba mempertahankan keputusan pembelian tanah yang lerlebih harga dan tidak mendatangkan keuntungan itu dengan cuba menjual nama Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti.  Gambaran yang cuba diberikan, pembelian itu adalah sah kerana telah diberi penilaian oleh pihak yang sepatutnya.

Bagaimanapun semuanya berubah pada 12 Julai lepas apabila Trinity Corporation Berhad (nama lamaTalam Corporation Berhad) mengeluarkan notis kepada Bursa Saham bahawa  kenyataan Khalid Ibrahim dan Tony Pua yang merujuk Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti sebagai pihak yang menilai dan memberi kelulusan kepada pembelian tanah di Bestari Jaya itu adalah TIDAK BENAR. 

Rujukan boleh dilihat di  http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/1010201

Ini seterusnya menimbulkan persoalan mengenai kredebiliti kedua-dua pemimpin tersebut yang berani menipu rakyat dalam mempertahankan tindakan tidak beretika yang dilakukan mereka, semata-mata untuk menutup kecurangan dalam pentadbiran kerana membelanjakan wang rakyat Selangor dengan sewenang-wenangnya untuk tujuan yang tidak selari dengan kepentingan rakyat.

Kita perlu ingat, sebelum 2008, Talam Corporation yang berhutang dengan kerajaan Selangor, tetapi apabila kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas itu, sebaliknya pula yang berlaku - kerajaan negeri pulak berhutang untuk menyelesaikan masalah hutang Talam dengan tindakan Menteri Besar Incorporated (MBI) membeli hutang-hutang Talam dengan beberapa anak syarikat kerajaan negeri bernilai RM 392 juta.

Itu baru yang tunai, urus niaga lain melibatkan pemindahan aset hartanah bernilai RM 676 juta yang antaranya melibatkan pembelian tanah yang dijadikan isu sekarang inilah.

Dan sementara Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor cuba meyakinkan rakyat Selangor bahawa pengurusan hutang tersebut adalah mengikut peraturan yang sebetulnya, kita dikejutkan dengan kenyataan dari Talam sendiri bahawa proses penentuan harga tanah itu tidak melibatkan penilaian dan kelulusan oleh pihak ketiga (Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti) seperti didakwa Khalid & Tony Pua.

Jadi bolehkah kita mengatakan disini bahawa BENARLAH dakwaan ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong bahawa tanah di Bestari Jaya itu dibeli kerajaan Selangor dari Talam, RM 42 juta lebih mahal dari harga pasaran?

Penulis tidak nampak mengapa tidak boleh.  Walaupun dalam sidang media yang diadakan sebelumnya, kedua mereka bercakap tentang banyak perkara tapi setelah diringkaskan, alasan Khalid Ibrahim dan Tony Phua dalam mempertahankan urusniaga itu hanya satu – penilaian harga tanah telah mendapat kelulusan Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti, yang mana sudah terbukti tidak benar sekarang.

Itu menjadikan dalam tempoh 2 minggu ini saja, Pakatan Rakyat 'tertangkap dengan seluar tersingkap ke bawah' sebanyak 2 kali.  Kali pertama kerana 'menjual' nama Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti untuk menjustikasikan pembelian tanah dibawah air, kali kedua apabila semalam portal berita pro mereka Free Malaysia Today (FMT) secara terbuka mengaku menulis fakta yang salah berkenaan Lynas Corporation Berhad – fakta yang digunapakai oleh 100% penyokong Pakatan Rakyat dalam mempertahankan tindakan menentang pembinaan Lynas di Malaysia.

Kesimpulannya, memang banyak yang tidak kena dengan pengurusan wang rakyat Selangor dibawah pimpinan Pakatan Rakyat.  Duduk ditempat paling di atas, sudah tentulah bagaimana syarikat seperti Talam yang berhutang dengan kerajaan Selangor sebelum Mac 2008, boleh mempengaruhi kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih hutang-hutang tersebut sehingga rakyat Selangor pula yang tak pasal-pasal terpaksa menanggung akibat dari 'kepintaran' Khalid Ibrahim.

Dan itu baru satu, dihadapan ini ada lebih banyak isu besar dan penting yang menunggu, antaranya air.

Rabu, 18 Julai 2012

Himpunan Oren Pesta PAS Kutip Duit Untuk PRU13





Hiruk piruk PAS mempertikaikan penyenaraian FGVH di Bursa Saham nampaknya akan sampai ke penghujungnya, apabila Himpunan Oren yang dianjurkan Sabtu lalu hanya menarik penyertaan segelintir peneroka sahaja.

Sehingga perhimpunan bersurai pada jam 4 petang dianggarkan hanya sekitar 2,000 orang sahaja yang sanggup membazirkan masa mereka 'menjayakan' program tersebut.

Jangkaan awal penganjur mahu menghimpunkan lebih 20,000 peneroka nyata tidak kesampaian sebaliknya lebih 90% peserta perhimpunan terdiri daripada ahli dan penyokong PAS yang langsung tiada sangkut paut dengan peneroka FELDA.

Segelintir peneroka yang hadir di perhimpunan tersebut pula rata-ratanya adalah penyokong setia PAS sejak sekian lama yang mengambil langkah songsang membantah penyenaraian FGVH di BSKL atas dasar menurut saja segala arahan pimpinan PAS.

Sebagaimana sudah menjadi resam PAS, apabila mereka menghulur tangan kanan konon mahu membantu menyelesaikan sesuatu masalah di masa yang sama tangan kiri mereka pula akan sibuk meraba-raba poket seluar orang yang mahu dibantunya.

Propaganda PAS yang mendakwa penyenaraian FGVH akan merugikan peneroka, hakikatnya seumpama cerita sang bomoh miang yang menakutkan mangsanya dengan kisah santau yang kemudian mengambil kesempatan mencabul kehormatan sambil menikmati wang ringgit upah pemberian 'pesakitnya'.

Inilah yang terjadi di Himpunan Oren apabila propaganda PAS mahu menyelamatkan peneroka FELDA akhirnya di kemuncak himpunan, para peserta dan peneroka pula yang diminta berkorban wang ringgit.

Pemimpin PAS pula tanpa rasa bersalah terus memukul gendang propaganda sambil mengira masa bila pula mahu dibuat himpunan serupa supaya pesta mengutip duit dapat terus dilakukan. 

Akhirnya, tatkala majoriti peneroka lain sedang meraih sedikit demi sedikit keuntungan hasil pelaburan dalam bursa saham, segelintir rakan mereka yang menyertai himpunan oren terpaksa pula berputih mata mengalami kerugian segera dari segi masa dan wang ringgit gara-gara terpengaruh propaganda 'pakar pelaburan' yang pernah menjahanamkan KOHILAL.

Saham FGVH: MB Kedah Memalukan PAS




Maka benarlah bahawa Pakatan Rakyat itu tidak sepakat.  Bukan sahaja tidak sepakat sesama parti sekutu tetapi juga di dalam parti sendiri.  PKR sudah lama diketahui mempunyai masalah dalaman antara kumpulan penyokong Azmin dengan penyokong Khalid Ibrahim.  Dan PAS pula antara Anwarinas dengan pro-Ulama.  

Tetapi, akhir-akhir ini semakin terserlah satu lagi kumpulan atau individu di dalam PAS yang tidak pro sesiapa, tidak terlibat dengan apa-apa perancangan, aspirasi atau strategi parti tetapi hanya mengikut kepala sendiri, iaitu Ustaz Azizan Razak, Menteri Besar Kedah.  

Sebelum ini, Ustaz Azizan telah mencipta masalah kepada PAS dan PR dalam isu-isu agama dengan 'menyinggung' perasaan DAP, serta isu pentadbiran negeri sehingga beberapa EXCO bertindak biadap dengan menolak kepimpinannya secara terang-terangan.   Akibatnya, beliau diletakkan di bawah 'seliaan' Jawatankuasa Pemandu untuk memastikan beliau tidak 'memandu' Kedah ke arah yang berlainan dari destinasi yang ditetapkan oleh PR.  

Di kalangan rakyat pula, Ustaz Azizan dilihat sebagai Menteri Besar yang tidak tahu apa-apa.   Tiada satu projek pun yang dapat dijayakan di bawah pemerintahannya.  Malah segala masalah dalam negeri seperti balak yang sudah sampai di tahap kronik, perobohan madrasah, krisis dalaman KUIN, dan pembaziran yang berleluasa di Kulim Hi-Tech Park diketepikan saja oleh Ustaz Azizan sebagai 'serangan tidak berasas UMNO' terhadapnya.  

Masalah-masalah lain seperti isu air dan sampah pula ditepisnya sebagai berpunca dari kerajaan terdahulu.  Pendek kata, mudah sungguh menjadi Menteri Besar di negeri Kedah di mana semua masalah akan diabaikan saja dengan kenyataan, "tiada masalah" atau "semua sudah selesai".  

Kenapa terjadi begini ialah kerana Ustaz Azizan tidak mengambil pusing terhadap apa yang dilaporkan di media sama ada media pro-kerajaan mahupun pembangkang.  Beliau juga buta IT selain angkuh dan enggan mendengar kata atau nasihat orang.   Beliau 'menguruskan' negeri serta 'menyiasat' sebarang masalah dengan cara mendengar laporan dari orang-orang kelilingnya sahaja.  Jika orang yang melapor itu menipu, maka penipuan itulah yang akan dipercayainya.  

Justeru, tidak mustahil Ustaz Azizan sebenarnya tidak tahu menahu mengenai pendirian PAS yang menentang penyenaraian Felda selama ini.  Malah, beliau juga mungkin tidak tahu menahu mengenai 'seruan rasmi' kerahan kepada ahli-ahli PAS agar meramaikan Himpunan Oren.  

Oleh itu, apabila Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Datuk Abdul Rahman Ibrahim menyuarakan hasrat untuk melabur sejumlah RM2,275,000 atau 500,000 unit ke dalam saham Felda, Ustaz Azizan langsung mengiakannya kerana baginya ia pastilah sesuatu yang baik.  

Apatah lagi apabila dijelaskan yang PKNK mampu mendapat keuntungan pantas sebanyak RM47,500 apabila menjual 50,000 unit pada harga RM5.50 seunit berbanding harga belian RM4.55 seunit.  

Akibat dari sikap tidak ambil tahu Ustaz Azizan ini, PKNK telah membuat untung, tetapi PAS telah rugi dari segi modal politik.  Ustaz Azizan telah secara 'tidak sengaja' memalukan PAS dan membuktikan kepada penyokong dan ahli PAS bahawa pendirian parti PAS adalah salah, sekali gus keputusan kerajaan untuk menyenaraikan Felda adalah bijak.  

Beberapa pemimpin PAS telah pun menyuarakan rasa marah dan tidak puas hati dengan Ustaz Azizan.  Tetapi kita percaya, selagi tiada media yang bertanyakan perkara tersebut kepadanya, Ustaz Azizan tidak akan tahu apa-apa.   Dan apabila beliau tersedar kesilapannya, beliau hanya akan berlagak selamba sahaja.  

Kini, yang pastinya PKNK telah pun berbuat keuntungan dari penyeneraian itu dan apapun alasan Ustaz Azizan kerana bertindak bertentangan dengan pendirian parti, tidak akan mengubah hakikat ini iaitu bahawa penyenaraian FGVH membawa banyak kebaikan dan keuntungan kepada banyak pihak, termasuk negeri yang ditadbir oleh PAS.   Justeru, penentangan PAS terhadap penyenaraian FGVH adalah tidak berasas dan berupa cerminan sikap hasad dengki semata-mata.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...