Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Selasa, 26 November 2013

Pengaruh & Ancaman Liberalisme di Dalam Parti Melayu

Muktamar PAS yang membawa kemenangan kepada kumpulan Erdogan iaitu pihak pro-Anwar Ibrahim dan DAP, menjadikan akar umbi PAS kecewa dan putus asa.   Ini kerana, Anwar dan DAP merupakan dua pihak yang bertindih dalam membawa agenda liberalisasi dan juga Kristianisasi di Malaysia.  Penglibatan 'orang-orang kuat' Anwar dan DAP di dalam COMANGO membuktikan agenda sebenar kumpulan ini.
 
Justeru, kemenangan kumpulan Erdogan di dalam PAS bermakna agenda itu kini lebih mudah untuk diperpanjangkan melalui PAS.  Persoalannya, apakah kemenangan mereka ini bermakna bahawa orang-orang Melayu telah mula menerima liberalisme?  Jawapannya mungkin 'ya' jika kita mampu merasa yakin dengan proses pengundian yang membawa kepada kemenangan mereka. Begitu juga dengan kemenangan kumpulan Erdogan di dalam PAS yang menyaksikan 'ulangan' dari pemilihan UMNO ketika Khairy mula-mula memenangi jawatannya dahulu di mana mengambil masa yang begitu lama untuk mengira undi selain kehadiran mereka-mereka yang tidak sepatutnya di tempat menyimpan peti undi.
 
Berdasarkan apa yang berlaku ini, kita tidak boleh menyalahkan persepsi rakyat.  Kita tidak boleh menghalang manusia dari berprasangka buruk berdasarkan apa yang dilihat di hadapan mata. Jika persepsi rakyat itu benar, maka ia menunjukkan bahawa pihak yang memperjuangkan liberalisasi ini, tidak kira sama ada di dalam PAS atau UMNO, semuanya gemar bermain kotor.  Mereka terpaksa bermain kotor kerana mereka tahu yang mereka tidak mendapat sokongan di kalangan orang-orang Melayu.
 
Walaupun golongan liberal ini gemar memperlekeh orang Melayu sebagai mudah dibeli dan ditipu, tetapi mereka lupa bahawa mereka lebih lekeh lagi kerana terpaksa membeli dan menipu semata-mata untuk berkuasa.  Ini bermakna, sekiranya mereka menang, maka kemenangan mereka adalah tidak tulen. Andainya persepsi ini tidak benar, dan mereka sebenarnya menang secara telus dan bersih, maka kita akan melihat agenda liberalisasi dilaksanakan tanpa apa-apa bantahan besar dari orang-orang Melayu.
 
Bagaimanapun, penolakan orang-orang Melayu terhadap PAS akhir-akhir ini membuktikan bahawa agenda itu tidak diterima di dalam parti itu.  Kritikan terhadap UMNO yang semakin lantang didengari juga menguatkan lagi hujah bahawa liberalisme tidak pernah diterima oleh orang-orang Melayu. Masalah liberalisasi bukan sahaja mengancam masyarakat kerana ia membawa bersamanya kebebasan tanpa sempadan tetapi juga membawa ancaman ketegangan kaum kerana ia didokong oleh parti perkauman tegar iaitu DAP, yang berselindung di sebalik seruan Kristianisasi.
 
Keadaan menjadi lebih terancam kerana kumpulan Melayu liberal di dalam UMNO dan PAS ini mentafsirkan sebarang usaha untuk membela adat, budaya, bahasa dan agama orang-orang Melayu sebagai kolot.  Di masa yang sama, tindakan membela adat, budaya, bahasa dan agama kaum lain pula ditafsirkan sebagai 'keterbukaan' yang wajib diterima oleh semua. Justeru, dengan tekanan dari sikap rasis dan chauvinis Kristian DAP dan kebodohan kumpulan Melayu liberal, yang bakal menjadi mangsa akhirnya ialah orang-orang Melayu di negara ini.  Amatlah malang sekali jika ini berlaku, sedangkan orang-orang Melayu yang menolak liberalisme merupakan kumpulan majoriti.
 
Kesimpulannya, Melayu PAS dan Melayu UMNO yang menolak liberalisme tidak mampu duduk berasingan di dalam PAS, UMNO dan atas pagar.  Melayu yang sedar, yang jujur sayangkan agama dan bangsa tidak ada pilihan selain bersatu di atas satu platform bagi membentuk kumpulan pendesak yang kuat ke atas pemerintah.  Perdengarkan suara kita menolak liberalisme dalam satu nada yang sekata.
 
Lupakan PAS atau UMNO, fikirkan strategi terbaik untuk mencapai matlamat ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...