Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Khamis, 5 September 2013

#DAR4NPU : Ali Rustam tanding Naib Presiden

Teka-teki mengenai jawatan yang akan ditandingi oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada pemilihan UMNO hujung tahun ini terjawab apabila beliau mengesahkan bertanding jawatan Naib Presiden parti itu.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan sedalam-dalamnya dan mendapatkan pandangan daripada rakan-rakan dalam parti. Katanya, langkah itu juga setelah mengambil kira pengalaman yang dimiliki beliau yang sebelum ini pernah memegang jawatan Naib Presiden serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO selain memegang jawatan dalam kerajaan.

"Bukanlah tujuan saya untuk melawan ataupun menidakkan sesiapa, ini adalah proses penawaran, semua yang ada (bertanding) baik-baik belaka. Ahli parti ada pilihan, saya fikir pengalaman dimiliki boleh membantu memperkuatkan parti dan saya juga ingin perjuangkan kepentingan orang Melayu serta Islam mengikut Perlembagaan Malaysia.

"Kita lihat hari ini, hak-hak orang Melayu semakin dipertikaikan, terutama oleh parti pembangkang hingga tak hargai apa pengorbanan golongan Melayu sejak merdeka, maka saya melihat UMNO merupakan wadah terbaik untuk pertahankan hak-hak Melayu dan kedudukan agama Islam serta Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui bersama semasa menuntut kemerdekaan dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Rumah Melaka di sini hari ini. Pengumuman itu mengesahkan pertandingan lima penjuru bagi jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti kali ini.

Sebelum ini tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengesahkan akan mempertahankan jawatan disandang sementara Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menawarkan diri bertanding.

Menurut beliau, UMNO sebagai sebuah parti demokrasi memerlukan transformasi dan umum melihat jawatan-jawatan tertentu wajar dipertandingkan untuk kebaikan parti. Katanya, semua yang bertanding untuk jawatan tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri dan berdasarkan rekod perkhidmatan, masing-masing telah banyak berjasa kepada parti serta negara.

"Jadi terpulang kepada ahli parti untuk memilih yang terbaik. Bagi saya semua mempunyai peluang yang sama, cuma mungkin kelebihan kepada saya memandangkan tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan. "Saya mempunyai lebih masa untuk jumpa ahli serta pemimpin di peringkat akar umbi. Dengar pandangan mereka dan membawanya kepada pucuk pimpinan atasan untuk dijadikan panduan," katanya.

Mengulas ketiadaan muka baharu yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden, beliau memberitahu, masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana UMNO mempunyai banyak pemimpin pelapis dan berkemungkinan akan ada yang menawar diri pada saat-saat akhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...