Ini dapat disaksikan dari perbalahan yang berlaku di beberapa tempat berkenaan kerusi pilihanraya. Antara insiden terbaru ialah di Kedah apabila DAP mengugut untuk bertanding secara 'solo' yang mungkin membawa kepada pertandingan tiga penjuru akibat kepimpinan negeri telah membelakangkan terus parti itu.
Lebih menyakitkan hati DAP Kedah ialah apabila Anwar sendiri, tanpa berunding dengan sesiapa telah dengan tidak semena-mena mengumumkan dalam satu ceramah di Kedah bahawa calon dari PKR, iaitu Gooi Hsiao Leung untuk bertanding di kerusi parlimen Alor Setar. PKR juga telah menamakan N.Surendran untuk bertanding di Padang Serai.
Ketidakpuasan hati DAP Kedah disuarakan oleh Ketuanya, Lee Guan Aik yang turut menegaskan yang beliau akan mempertahankan kerusi Kota Darulaman. Lee nyata kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan tertinggi parti.
Tindakan kepimpinan PR yang membelakangkan DAP dan mengambil keputusan tanpa berbincang, menyerlahkan sikap Anwar yang kuku besi serta tidak berkeupayaan mengurus atau mentadbir parti. Malah, Anwar juga angkuh kerana enggan memberi sebarang komen mengenai isu ini tetapi hanya membuat muka selamba seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Anwar, sepatutnya menjadi tonggak perpaduan kepada PR. Perlantikan beliau sebagai Ketua dan bakal Perdana Menteri kononnya adalah kerana hanya beliau yang mampu menyatupadukan PAS dengan DAP. Namun, sebagai Ketua, Pemimpin Tertinggi dan bakal PM, pelik sekali apabila beliau tiada hak untuk memberi kata putus kepada PAS, DAP mahupun PR secara keseluruhan.
Kita lihat bagaimana Anwar langsung tidak mengambil peduli akan perbalahan dalam DAP sebelum ini, termasuk isu pemilihan CEC yang nyata menimbulkan kontroversi. Begitu juga dengan isu-isu yang melibatkan ekonomi negeri seperti pembalakan tidak terkawal di Kedah, terowong mega di Pulau Pinang dan berbagai-bagai lagi.
Anwar juga tidak berupaya untuk menyelesaikan perbalahan antara Kedah dan Pulau Pinang berkenaan isu jual beli bekalan air mentah. Malah, tidak mampu memberi sebaran komen pun walaupun isu tersebut berlarutan tanpa kata putus.
Apa yang jelas, daripada sebesar-besar isu yang melibatkan ekonomi negeri-negeri jajahan PR, kepada isu-isu yang melibatkan imej dan integriti parti mahupun isu kerusi dalam pilihanraya, sehinggalah sekecil-kecil isu seperti isu setempat dan skandal dalaman yang melanda parti, semuanya bagai berada di luar kuasa Anwar Ibrahim.
Oleh kerana pilihanraya akan berlangsung beberapa hari sahaja dari sekarang, kedudukan Anwar yang tampak lemah dan kabur ini membuatkan rakyat semakin cuak untuk memberi mandat kepada PR. Sekali gus bayang-bayang bakal Perdana Menteri PR yang sedia kabur bagaikan terpadam terus.
Ketiga-tiga parti di dalam PR nampaknya berjuang secara syok sendiri dan Anwar juga menjadi bakal PM yang syok sendiri. Masing-masing dibuai angan-angan berasingan serta berada di dalam dunia mereka sendiri tanpa berpijak di bumi nyata.
Hari ini, DAP Kedah telah benar-benar tersinggung dan jika benar parti itu bertanding secara solo, maka tidak mustahil langkah tersebut akan menjadi trend bagi negeri-negeri lain yang turut memperlihatkan bagaimana ada saja perbalahan dan ketidakpuasan hati antara PAS, DAP dan PKR.
Hakikatnya, masalah ini berlaku kerana PR tidak mempunyai pemimpin tertinggi yang benar-benar berkuasa memberi kata putus dan kata putusnya dihormati.
Bayangkan, bagaimana kita mengharapkan parti ini memerintah negara tanpa pemimpin yang pasti?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan