Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Khamis, 31 Januari 2013

Pelajar Universiti Ramal BN Menang Besar

Kajiselidik yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) dibawah anjuran Yayasan Ehwal Siswazah (YES) menunjukkan sokongan terhadap BN berada dalam keadaan kukuh di kalangan mahasiswa dengan 63% yakin bahawa BN akan menang dalam PRU-13 dan hanya 37% sahaja yang meramalkan kemenangan PR.  

Kajiselidik di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang  turut menunjukkan populariti Dato' Seri Najib meningkat seperti berikut, Kelantan 60.8%, Kedah, 63.8% dan Selangor 54.55%. 

Daripada semua responden ini, 40.1% telah dikenalpasti sebagai golongan atas pagar dan 80% daripada mereka ini pula telah bersedia untuk mengundi dalam PRU kali ini.  Justeru, golongan ini merupakan antara penentu utama kepada keputusan pilihanraya nanti. 

Walaupun penemuan kajiselidik menunjukkan perbezaan yang kecil antara jumlah penyokong pembangkang (30.1%) dan kerajaan (29.8%) iaitu 0.3%, tetapi secara keseluruhan, para siswazah menaruh keyakinan yang lebih kepada Dato' Seri Najib untuk menerajui negara iaitu 67.4%, berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim 52.2%, Datuk Seri Hadi Awang 31.3% dan paling tidak diyakini pula ialah Lim Kit Siang yang hanya mendapat sokongan sebanyak 1.5%. 

Kit Siang juga menerajui bagi kategori pemimpin paling tidak layak sebagai Perdana Menteri dengan 61.5%, diikuti oleh Hadi Awang 26.2% dan Anwar Ibrahim 16.2%. 

Penemuan ini bolehlah dianggap menarik kerana di masa yang sama, kajiselidik tersebut turut menunjukkan bahawa media politik yang paling popular di kalangan siswazah pula ialah Malaysiakini, iaitu media yang terkenal sebagai pro-pembangkang dan entah berapa kali terkantoi menipu. 

Secara tidak langsung, kajiselidik membuktikan bahawa majoriti pelajar universiti cukup matang untuk menilai berita yang dilaporkan oleh media massa serta tidak mudah terpengaruh. 

Apa yang didapati dari kajiselidik ini membuat kita tertanya-tanya tentang bagaimana kajiselidik berkenaan sokongan terhadap parti politik di kalangan siswazah yang dijalankan oleh UMCEDEL sebelum ini menunjukkan penemuan yang bertentangan, iaitu sokongan yang meningkat kepada pembangkang.   Kajian UMCEDEL juga menunjukkan yang kaum Cina yang paling ramai menolak BN iaitu lebih 90%, dilihat sebagai meragukan terutama apabila dikaitkan dengan peratusan populariti Kit Siang yang begitu corot seperti di dalam penemuan YES. 

Memandangkan kredibiliti Pengerusi UMCEDEL yang diragui kerana mempunyai 'sejarah' tersendiri bersama Anwar di dalam ABIM maka, adalah wajar kita memilih untuk bersandarkan kepada kajiselidik anjuran YES berbanding UMCEDEL. 

Untuk itu, walaupun penemuan menunjukkan angka positif bagi BN, tetapi BN wajar mengambil langkah pro-aktif untuk meningkatkan lagi sokongan para siswazah dengan menangani kelemahan-kelemahan yang ada, terutamanya dalam menyediakan satu platform media alternatif yang mampu menyaingi Malaysiakini dari segi rencana dan pemberitaan.  

Jelas, bahawa para siswazah dahagakan bacaan yang berunsur serius, berbanding tulisan-tulisan ringan di blog-blog atau portal pro-BN yang kurang menitikberatkan kualiti penulisan serta masih 'obses' dengan hiburan serta bahan lucah untuk menarik pembaca.   

Sudah tiba masanya bagi BN meningkatkan 'mentaliti' seiring dengan pemikiran anak-anak muda dan cerdik-pandai di dalam negara.   Politiking yang terlalu nyata yang dipersembahkan dalam bentuk ringan, kasar, lucah dan kadangkala rendah di dalam bahan yang disediakan oleh media pro-BN merupakan antara penyebab ramai cerdikpandai dan golongan yang lebih selesa berbahasa Inggeris, memilih untuk membaca Malaysiakini walaupun menyedari 'sifat' politik media tersebut.  

Tidak dinafikan bahawa cara tertentu adalah berkesan untuk golongan sasaran tertentu, namun, tidak salah jika BN turut menggunakan cara lain untuk golongan sasaran yang lain, iaitu golongan cerdikpandai dan yang lebih selesa berbahasa Inggeris sama ada yang sedia menjadi penyokong senyap, atas pagar, mahupun yang di dalam pembangkang.   Jika kena caranya, kedudukan BN pasti akan lebih kukuh lagi menjelang PRU ke-13.

PAS Umpamakan Nasharudin Isteri Curang

Sehari selepas bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dipecat dari terus menganggotai Majlis Syura Ulama PAS, Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat terus meraikannya dengan upacara memotong kek di kediaman Pengerusi DAP Pusat, Karpal Singh.

Walaupun secara lahiriahnya acara memotong kek itu diadakan sempena ulangtahun kelahiran Mursyidul Am PAS itu yang ke 82 tahun, namun tersiratnya ia menggambarkan kegembiraan Karpal Singh yang dikongsi bersama dengan Nik Aziz dalam meraikan dendam terindah yang sudah dilunaskan.

Karpal pernah ditempelak oleh Nasharudin berhubung isu hudud, manakala Nik Aziz pula sehingga kini terus berpatah arang dengan peranan utama yang dimainkan Ahli Parlimen Bachok, Kelantan itu semasa ura-ura kerjasama diantara UMNO dan PAS melalui Kerajaan Perpaduan (UG) dulu.

Nik Aziz ketika diminta mengulas status Ustaz Nasharudin yang masih kekal sebagai ahli PAS, secara sinis memberi gambaran kedudukan bekas Timbalan Presiden PAS itu dalam parti kini ibarat suami isteri yang bila-bila masa sahaja boleh bercerai berai.

"Itu dia punya pasallah, saya sebut kelmarin kepada wartawan orang laki bini lagikan bercerai. Padahal kita nak sambut bini itu dengan sembelih lembu, palu gong gendang lah, selawat kepada Nabi, tetapi  boleh bercerai. Ini kerana parti (Ini kan pula dalam parti)".

Maksudnya jika isteri sendiri pun boleh diceraikan, apa sangatlah kalau memecat Nasharudin dari Majlis Syura Ulama PAS. Hatta kalau Nasharudin mahu keluar parti menyertai UMNO sekalipun, itu bukannya persoalan besar bagi PAS.

Lebih-lebih lagi pada perkiraan Nik Aziz dan PAS, status Nasharudin itu sendiri yang dilihat rapat dengan pimpinan UMNO seumpama isteri yang telah curang pada suami sendiri. Itu anggapannya. Soal bukti dan peluang untuk membela diri, itu lain punya hal yang tidak perlu difikirkan.

Dari sudut lain, walau dibaca berkali-kali kenyataan Mursyidul Am PAS itu, kelihatannya seperti Nik Aziz begitu memandang mudah hubungan suami isteri bila mana ia dikaitkan dengan isu pemecatan Nasharudin dan kedudukannya dalam PAS.

Tapi nak pelik apa? Kan sudah menjadi pengetahuan umum dalam PAS telah lama wujud polisi sumpah baiah talak tiga yang menjadikan isteri kepada calon-calon PAS dalam PRU sebagai bahan taruhan bertujuan menjamin suami masing-masing kekal dalam parti dan tidak mengubah haluan melompat ke parti lain.

Satu persoalan yang menarik untuk difikirkan, kenapa baru sekarang PAS bertindak dan dimasa yang sama masih mengekalkan Nasharudin sebagai ahli PAS, bukankah itu seperti tindakan gantung tidak bertali dari seorang suami?

Amat dayus dan bacul sifatnya bilamana seorang suami hanya berani mengambil tindakan gantung tidak bertali terhadap isterinya sedangkan jika begitu yakin telah wujud kelakuan curang sewajarnya diceraikan sahaja, bukan begitu?
 

Sepakat Jadi Kekuatan BN Melaka Rampas Kerusi DAP

Barisan Nasional (BN) Melaka kini bersedia menawan satu kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang kini disandang DAP, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri yakin semua jentera bersiap sedia menghadapi 'perang' PRU-13 dengan penuh semangat kesepakatan dalam BN bagi memastikan kejayaan besar BN dalam pilihan raya itu nanti.

Lanjut, klik SINI.
 
source: detikperubahan.com



DAP Ingin Guna Anak Raja Untuk Hapuskan Institusi Raja?

Dalam usaha DAP untuk kekal relevan dalam masyarakat dan politik Malaysia, parti itu tidak pernah menyatakan secara terus-terang akan prinsip mereka yang menentang Institusi Raja-raja Melayu.  Namun, bagi mereka yang sedia maklum mengenai sejarah DAP akan sentiasa waspada mengenai prinsip utama perjuangan DAP yang menentang Artikel 153 di mana termaktub di dalamnya hak-hak Melayu dan Islam yang dilindungi Institusi Raja-raja. 

Walaupun ianya dikaburkan oleh pemimpin-pemimpinnya, tetapi prinsip DAP dapat dilihat di dalam komen-komen oleh penyokong tegar mereka di laman-laman sosial yang jelas membenci segala-galanya yang 'berbau' Melayu.  Ia juga terserlah dalam tindakan DAP yang senantiasa mencuba untuk melemahkan atau melenyapkan terus apa-apa saja yang berkaitan dengan Melayu.  Antaranya, bahasa dan juga budaya, yang mana membawa kepada kes wakil DAP enggan memakai pakaian adat di dalam Dewan atas alasan ia bercirikan Melayu-Islam. 

Dolak-dalih konon berpegang kepada perlembagaan dan enggan mengaku menentang Institusi Raja-raja, terkantoi apabila kepimpinan tertinggi parti itu menempelak Datuk Ngeh Koo Ham dan Datuk Teng Chang Khim yang telah menerima anugerah Darjah Kebesaran oleh Raja-raja Melayu kerana tindakan itu dikira melanggar prinsip parti.   Alasan kononnya atas faktor ketelusan.   Namun, tidak semua rakyat begitu mudah terpedaya dan kita sedia maklum bahawa prinsip itu dibuat berasaskan penolakan DAP terhadap Raja-raja Melayu. 

Apabila terdedah bagaimana DAP pernah cuba memancing Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Mukhriz untuk menyertai DAP dengan dijanjikan jawatan Menteri Besar, maka ia menunjukkan betapa DAP tidak pernah menghormati Institusi Raja-raja.  Biarpun penyertaan seorang Putera Sultan ke arena politik bukan sesuatu yang salah walaupun ia jarang berlaku, namun perlakuan DAP yang memancing dan menjanjikan jawatan kepada baginda adalah perlakuan biadap. 

Apatah lagi dengan prinsip utama DAP yang tidak mengiktiraf Institusi Raja-raja, maka tindakan tersebut membawa makna bahawa DAP hanya ingin memperalatkan baginda untuk meraih undi Melayu semata-mata dengan keyakinan yang mereka dapat membonekakan baginda sekiranya strategi ini berjaya.   

Mungkin ramai yang masih ingin menepis hakikat ini dan menuduh penulis sebagai rasis dan paranoid.   Namun, tidak salah kita mengambil sikap berhati-hati memandangkan sehingga ke saat ini, kita masih tidak mendapat jaminan yang DAP tidak akan meneruskan agenda menghapuskan Artikel 153, sekali gus Raja-raja Melayu sekiranya PR memenangi PRU.  

Dengan keadaan PAS yang begitu lemah dan PKR yang terlalu bergantung kepada rakan sekutunya untuk hidup, DAP akan mempunyai kuasa mutlak jika PR berkuasa.  Malah, hari ini juga kita melihat DAP mempunyai kuasa mutlak, cumanya ia tidak ditunjukkan secara terang-terangan kerana perlu kekal relevan dalam suasana politik dan masyarakat Malaysia demi memenangi pilihanraya. 

Justeru, seperti yang disebut tadi, tawaran DAP kepada Tunku Zain adalah bertitik tolak kepada strategi untuk memenangi pilihanraya semata-mata.  Kedudukan Tunku Zain dan seluruh kerabat diRaja selepas pilihanraya yang dimenangi PR pula, tentunya belum pasti. 

Umat Melayu tidak wajar memandang remeh akan prinsip utama DAP yang berslogankan Malaysian Malaysia.  Ketahuilah bahawa prinsip tersebut tidak pernah berubah, malah kekal subur dan berkembang di dalam sanubari setiap seorang dari ahli dan pemimpin DAP.  

Kata orang, fahamilah asal usul dan hati budi seseorang sebelum kita bertindak membela atau bersahabat dengannya.  Begitu juga dengan DAP yang pernah terakam dalam sejarah sebagai memusuhi Islam dan Melayu, yang bertekad menghapuskan hak-hak Melayu dan yang pernah dan masih menjunjung sistem sosialis dan kesamarataan total. 

Justeru, kita wajib memahami terlebih dahulu apa itu sosialis dan apa itu kesamarataan total serta kesan dan impaknya kepada umat, kepada agama dan kepada negara.  Sebelum memahami semua ini, janganlah menjadi pipi yang tersorong-sorong membela DAP dalam hal ini. 

Raja-raja adalah benteng kita, jika Raja-raja juga sudah dihina sebegitu rupa dengan rasuah jawatan yang jauh lebih rendah dari kedudukan baginda, maka apakah kita masih ingin terus percaya kepada DAP?

Rabu, 30 Januari 2013

DAP Mahu Musnahkan Institusi Raja-Raja Melayu Pula...!!!!

Pembangkang semakin terdesak sehingga Dap terpaksa memujuk anak Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-'Abidin Ibni Tuanku Muhriz untuk menyertai parti itu.

Dap tahu bahawa raja-raja Melayu merupakan payung kepada kedaulatan bangsa ini dan mempunyai pengaruh yang amat besar ke atas kehidupan orang Melayu samada dalam ruang lingkup sosial, budaya mahupun politik.

Orang Melayu dan raja-raja Melayu sememangnya tidak boleh dipisahkan bagaikan irama dan lagu. Jika berlaku tembok pemisahan maka runtuhlah institusi itu dan malaplah masa depan bangsa Melayu. Oleh itu 'menjaring' seorang anak raja yang muda dan idealis seperti Tunku Zain Al-'Abidin untuk menggangotai sebuah parti rasis dan perkauman seperti Dap boleh dianggap tangkapan besar atau 'slam dunk' dalam bahasa permainan bola jaring.

Inilah sebenarnya strategi Dap untuk menyucikan parti itu daripada stigma anti-Melayu dan anti-Islam yang telah melekat kepada tubuh badannya sejak ditubuhkan. Apatah lagi jika ia berjaya memikat hati seorang anak raja untuk berdiri di atas landasan perjuangan 'Malaysian Malaysia'nya maka Dap akan mendapat pengabsahan paling besar untuk menyakinkan orang Melayu menyertai parti itu. Dap cuba strategi yang sama terhadap Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, seorang kerabat diraja Kedah dan bekas Pengerusi Transparency International Malaysia namun gagal. Sejurus menerima keahlian Tunku Aziz, beliau terus dilantik sebagai Naib Pengerusi Dap bagi mewakili kaum Melayu dalam parti itu dan kemudiannya digula-gulakan lagi dengan lantikan sebagai Ahli Dewan Negara.

Sebagai seorang yang bijaksana Tunku Aziz bukanlah seorang anak Melayu berdarah raja yang mudah diperbodohkan seperti mana yang diperlakukan oleh penasihat-penasihat Inggeris kepada raja-raja Melayu zaman sebelum merdeka. Sebelum terjerat lebih jauh dalam perangkap Dap, Tunku Aziz telah pun dapat menghidu penipuan dan kepalsuan parti rasis itu apabila bercakap mengenai soal orang Melayu dan Islam. Bagi beliau, orang Melayu dalam Dap hanyalah tunggangan Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng serta Karpal Singh. Dap tidak pernah memperjuangkan nasib Melayu dan tidak akan berbuat demikian untuk selama ia wujud sebagai sebuah parti politik. Wadah perjuangannya hanya untuk kepentingan kaum Cina semata-mata dengan tidak mempedulikan hakikat bahawa bumi yang mereka pijak adalah tanah air orang Melayu. Walaupun Tunku Aziz meninggalkan Dap, namun Guan Eng menggunakan kaedah rasuah politik untuk mengekalkannya dalam parti itu dengan menawarkan Pengerusi Institut Pulau Pinang dengan gaji lima angka.

Semuanya ditolak mentah-mentah oleh beliau kerana selama ini Dap yang kononnys diyakini sebagai parti berbilang bangsa sebenarnya hanyalah topeng untuk menutup satu perjuangan yang ekstrem kepada perkauman Cina. Penolakan orang Melayu terhadap perjuangannya tidak mematah semangat pemimpin Dap, dan ia sanggup berbuat apa sahaja untuk menarik minat orang Melayu. Dap sanggup memanipulasi keputusan pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat untuk meletakkan seorang 'Melayu celup' menjadi wakil tunggal Melayu walaupun sebelumnya semua calon Melayu kalah teruk. Kini pandangan mereka beralih untuk memecah belahkan institusi yang memayungi orang Melayu apabila usaha mereka untuk meretakkan bangsa Melayu sudah gagal. Dap berharap jika seorang anak raja boleh diyakinkan untuk bertanding pada PRU13 nanti atas tiket parti itu, sudah tentu ramai orang Melayu akan terpengaruh.

Mungkin Dap berfikir strategi mereka untuk menjadikan institusi raja-raja Melayu seperti keldai mereka seperti mana yang dilakukan kepada Pas, mereka amat silap besar. Jika orang Melayu mampu menyedarkan raja-raja Melayu supaya tidak menurunkan tandatangan mereka bagi perjanjian untuk mewujud serta mengabsahkan Malayan Union pada 1948, sudah tentu untuk menentang perancangan licik Dap tidak menjadi masalah besar. Mungkin Tunku Zainal Al-'Abidin sebagai seorang anak raja yang muda dan bersemangat perlu menelusuri dan mempelajari dengan lebih mendalam perihal sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dengan penuh kesedaran serta perasaan prihatin.

Jangan terjebak dengan permainan silap mata politik Dap yang secara luaran amat menarik hati dengan segala idealisme yang mengasyikkan jiwa dan kalbu sehingga akhirnya tersedar bahawa diri telah tertipu.

PAS SEMAKIN JUMUD BERTINDAK KE ATAS NASHARUDDIN

Akhirnya Pas mengambil tindakan terhadap bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa dengan menggugurkan beliau daripada keanggotaan Majlis Syura Ulama parti itu.

Keputusan itu sememangnya sudah dijangka dan tidak mengejutkan hanya persoalan mengapa Pas mengambil masa begitu lama untuk bertindak ke atas Ahli Parlimen Bachok itu.

Sejak Nasharuddin kalah kepada Mohamad Sabu untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan semasa Muktamar Tahunan Pas ke 57 pada tahun 2011 dan sejak itu beliau telah banyak bermuhasabah diri mengenai isu perpaduan umat Melayu di negara ini.

Sikap Nasharuddin yang lunak dalam isu perpaduan dengan UMNO menjengkelkan malah menaikkan bulu kening pemimpin-pemimpin Pas terutamanya Murshidul Am, Nik Aziz Nik Mat.

Kepada Nik Aziz dan geng Anwarinas, Nasharruddin dilabel sebagai pengkhianat kerana berkawan dengan UMNO.

Malah heboh pada tahun 2009 isu kerajaan perpaduan yang dipelopori oleh kumpulan UG atau Unity Government yang mahukan kerjasama politik dengan UMNO demi kesatuan dan mengukuhkan posisi politik orang Melayu di Malaysia.

Nasharuddin adalah antara tokoh utama UG disamping Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tetapi malangnya Nik Aziz telah berjaya mempengaruhi pimpinan parti untuk menolah inisiatif UG.

Sejak itu Nasharuddin menggangap dirinya seperti melukut di tepi gantang, disisih oleh partinya sendiri.

Malah beliau sendiri sebagai Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Pas dikatakan tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat ang diadakan.

Beliau sebaliknya menumpukan perhatian mengetuai sebuah badan swadaya yang dipanggil Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia.

Atas kapasiti itu Nasharuddin sering kelihatan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ini telah menaikkan darah Nik Aziz dan sekutu-sekutunya yang pro-Anwar atau Anwarinas.

Gambar beliau bersama Perdana Menteri di Mekah bertemu dengan ulama-ulama di kota suci itu telah menjadi heboh di kalangan ahli Pas.

Nik Aziz lebih sakit hati apabila melihat Nasharuddin menemani Datuk Seri Najib semasa lawatan sehari ke Semenanjung Gaza baru-baru ini.

Mungkin itu menjadi 'the straw that breaks the camel's back' atau penyudah kepada perbuatan 'khianat' Nasharuddin terhadap partinya, lantas beliau dikeluarkan daripada badan tertinggi penentu dasar dan halatuju parti itu.

Nik Aziz juga berang dengan Nasharuddin yang sebelum ini menggesa Pas mengkaji semula kerjasama parti itu dengan PKR dan Dap dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga berlaga angin pendirian Pakatan Rakyat dan Pengerusi Dap Kebangsaan, Karpal Singh mengenai isu hudud.

Tindakan ke atas Nasharuddin didakwa berlawanan dengan semangat 'jemaah' tetapi hakikatnya Pas adalah sebuah parti yang jumud dengan aliran pemikiran yang beku dan kaku.

Parti itu berlagak seperti hero Islam malah nama agama dipakai pada nama parti tetapi sebenarnya kepentingan politik Nik Aziz yang diperjuangan, bukan parti, ahli mahupun umat Islam.

Pas iri hati dan cemburu apabila melihat pemimpinnya seperti Nasharuddin bersikap bebas dan tidak terikat dengan budaya parti yang menjadikan UMNO sebagai musuh tradisi untuk selama-lamanya.

Inilah pemikiran yang dibawa oleh Nik AZiz dan dipaksa ke atas pas menjadikan parti iaitu sebuah organisasi siyasah yang statik dan progresif.

Nasharuddin seorang pemimpin Pas yang berfikiran terbuka serta mempunyai pandangan jauh berkaitan perpaduan Islam.

Bagi beliau perbezaan peendekatan politik yang diambil oleh UMNO dan Pas tidak bermakna perpaduan tidak boleh dicapai melalui kaedah lain.

Inilah yyang dilakukan olehnya apabila sanggup bersama-sama Perdana Menteri demi agenda memartabatkan kepentingan Islam.

Jika Nik Aziz berfikiran terbuka dan berlapang dada, apa salahnya Nasharuddin berganding bahu bersama pemimpin kerajaan Barisan Nasional demi perjuangan rakyat Palestin?

Juga apa salahnya Nasharuddin menjadi perantara bagi Perdana Menteri dalam pertemuannya dengan ulama-ulama tersohor Mekah?

Tetapi bagi Nik Aziz dan kuncu-kuncunya perbuatan Nasharuddin adalah antara dosa paling besar, malah kalau berdasarkan 'Amanat Haji Hadi, sudah tentu beliau boleh dijatuhkan hukum kafir!

Isnin, 28 Januari 2013

BN TETAP PILIHAN DI HATI PENGUNDI PADA PRU13

Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) menjurus kepada pola pengundian yang menunjukkan Barisan Nasional akan terus diyakini rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal diumumkan pada bila-bila masa sahaja. 

Statistik kaji selidik UMCEDEL menunjukkan BN mendahului Pakatan Rakyat dengan lima mata peratusan.

BN memperolehi 42 peratus  berbanding 37 peratus yang memberikan keyakinan kepada PR berdasarkan kepada soal selidik ke atas saiz sampel 1,409 pengundi.

Malah pemimpin BN berpendapat bukan sahaja parti pemerintah akan menang besar tetapi juga akan berjaya merangkul kembali majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Keyakinan ini bukanlah cakap-cakap kosong kedai kopi tetapi berlandaskan kepada fakta dan realiti di peringkat akar umbi pengundi.

Sikap keterbukaan dan pendekatan inovatif pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Naji Tun Razak merupakan dua faktor amat penting yang menyumbang kepada keyakinan rakyat kepada BN.

Walaupun pihak pembangkang saban hari membangkitkan pelbagai isu yang didakwa bersabit dengan rasuah dan penyelewengan tetapi rakyat terutamanya pengundi bijak memilih di antara kaca dan permata.

Apa yang mereka sekarang lihat dan nikmati adalah hasil pro-aktif kepemimpinan cemerlang yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri dalam memperjuang serta menjaga kebajikan rakyat.

Daripada perbelanjaan isu rumah, pendidikan, kebajikan pelajar, warga emas, pemandu teksi, golongan karyawan, agamawan dan nelayan hinggalah kepada golongan peniaga serta usahawan, semuanya kini sedang menikmati hasil bermacam-macam program yang dilancarkan oleh Datuk Seri Najib.

Boleh dikatakan tidak ada lapisan masyarakat atau golongan rakyat yang disisahkan daripada menerima bantuan dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Program BR1M 1.0 dan 2.0 yang dituduh pembangkang yang kekeringan isu sebagai rasuah politik menerima respons yang sungguh menakjubkan.

Begitu juga lain-lain program KR1M, Klinik 1 Malaysia, TR1M, KD1M yang terbit daripada dua program transformasi kerajaan - Program Transformasi Pentadbiran dan Program Transformasi Ekonomi.

Mentadbir sebuah negara majmuk seperti Malaysia dengan 1001 kerenah daripada setiap kaum yang berlatar belakangkan etnik, agama, bahasa, budaya serta pandangan dunia yang berbeza bukanlah suatu yang mudah.

BN telah berjaya mengangkat serta menobatkan martabat negara dari semua susut pembangunan - ekonomi, politik dan sosial - daripada sebuah negara berasaskan pertanian kepada negara industri yang menuju kepada status negara maju menjelang 2020.

Segala yang telah dicapai sehingga kini bakal hancur dan musnah jika negara berada di dalam tangan pembangkang.

Ini kerana asas politik pembangkang adalah kebencian dan perpecahan serta memporak perandakan negara demi untuk memperolehi kuasa politik.

Pembangkang tidak peduli tentang aspek keselamatan negara mahupun kedaulatannya kerana apa yang penting bagi mereka ialah merampas Putrajaya dengan menimbulkan kekacauan dan huru hara.

Ini terbukti dengan siri demonstrasi dan tunjuk perasaan yang sering diadakan sejak PRU 2008 kononnya untuk memperjuangkan hak rakyat.

Sebenarnya bukan rakyat yang menjadi fokus gerakan pembangkang.

Rakyat hanya dimobilisasikan sebagai satu gerakan massa bagi kepentingan politik pemimpin-pemimpin pembangkang dalam Pakatan Rakyat yang masing-masing mempunyai halatuju dan ideologi yang berbeza.

Walaupun kajian UMCEDEL menunjukkan sejumlah 78 peratus daripada saiz sampel pengundi dalam soal selidik yang dijalankan mengatakan, integriti dan salahguna kuasa pemimpin BN memberi kesan kepada sokongan pengundi dalam pilihan raya umum, namun ini ada hanyalah masalah persepsi yang telah dicorakkan dalam pemikiran rakyat oleh pembangkang.

Akhirnya rakyat akan menunjukkan kematangan di peti undi bila mana mereka mampu membandingkan dengan fikiran dan hati yang terbuka kehidupan yang telah mereka nikmati sepanjang pemerintahan BN.

Mereka juga akan membandingkan janji-janji kosong pembangkang yang tidak mampu dilaksanakan serta lebih indah khabar dari rupa.

Hasil kaji selidik Universiti Malaya itu yang menunjukkan 53 peratus masyarakat Cina masih "tidak pasti" untuk memilih parti mana pada PRU 13 juga seharusnya tidak perlu dibimbangi.

Pengundi Cina melihat politik sebagai satu bentuk perniagaan yang mengutamakan aspek keuntungan lebih daripada unsur yang lain.

Walaupun mungkin wujud beberapa isu yang menjadi kebimbangan kepada mereka, pengundi Cina perniagaan akan bertindak seperti peniaga yang akan memastikan kerajaan yang mereka pilih mampu memberi suasana perniagaan yang stabil, kompetitif dan aman daripada segala halangan yang membantutkan ekonomi mereka.

Pembangkang mungkin boleh bermulut manis menabur segala macam janji termasuk ada yang tidak masuk akal sama sekali tetapi rakyat akan tetap memilih BN yang rasional, komited, berwawasan serta sentiasa menepati janjinya.


Pembangkang Mahu Ibrahim Ali Dipenjarakan Kerana Pertahan Islam

Riuh rendah para pemimpin pakatan pembangkang mencemuh kenyataan Presiden perkasa, Ibrahim Ali berhubung saranannya supaya dibakar kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah s.w.t dan kini sedang giat disebarkan oleh golongan pendakyah Kristian kepada para pelajar Melayu Islam di Pulau Pinang.

Respon keras oleh Ibrahim itu ada asasnya, lebih-lebih lagi sudah lama umat Islam menahan sabar setelah bertahun-tahun isu kalimah Allah s.w.t telah dengan sengaja ditimbulkan oleh DAP dan para pendakyah Kristian dengan niat untuk merosakkan akidah umat Islam.

Hanya orang yang tidak beriman dari golongan munafikun sahaja yang tidak terasa keesaan Allah s.w.t dan tidak sensitif untuk mempertahankan kesucian kalimahNya dari dinodai oleh pendakyah agama lain.

Tapi agak menakjubkan bila mana ada juga kalangan pemimpin PAS yang tumpang sekaki mengkritik saranan Ibrahim Ali, kelihatannya seperti parti berlabel Islam itu lebih sensitif bila 'kesucian' Bible disentuh berbanding kesucian hakiki kalimah Allah s.w.t yang sedang cuba dinodai oleh DAP dan pendakyah Kristian.

Barangkali PAS sudah terlalu liberal dan kini telah bertukar kulit dari parti yang memperjuangkan hak agama Islam dan umatnya berubah menjadi parti pro Kristian pula. Besar kemungkinan itu kalau dilihat pada watak dan pembawaan ramai pemimpin PAS yang lebih sudu dari kuah berbanding sesetengah penganut Kristian.

Selain PAS, para pemimpin PR yang lain sama ada dari PKR mahupun DAP rata-ratanya bersungguh benar mengambil kesempatan dari kenyataan keras Presiden Perkasa berhubung kalimah Allah s.w.t dalam kitab Bible itu untuk menimbulkan kemarahan penganut Kristian.

Mereka cuba menimbulkan desakan dan tekanan supaya pihak berkuasa mendakwa Ibrahim di bawah Akta Hasutan sebagaimana digesa oleh Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee. Malah tidak kurang juga yang mahukan Kerajaan bertindak lebih tegas dengan memenjarakan sahaja Ibrahim kononnya atas kesalahan menimbulkan keresahan umum.

Bagi sesetengah penganut Kristian yang sememangnya totok DAP dan pro PKR tentu sahaja menyambut propaganda PR itu dengan telinga terbuka selanjutnya turut memanipulasi secukup rasa tanpa mempedulikan punca sebenar isu asalnya dari niat jahat golongan pendakyah Kristian sendiri.

Golongan sebegini hanya melihat isu dari perspektif kepentingan sendiri walhal sedari dulu lagi Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunggak asas berdirinya negara ini telah memperuntukkan agama Islam adalah agama Persekutuan dan penganut Islam adalah dilindungi daripada sebarang dakyah agama lain.

Persoalannya kenapa selepas PRU 12 2008, hanya dek kerana PR beroleh sedikit kekuatan politik dan kuasa tiba-tiba sahaja segalanya mahu dilanggar dan persetujuan bersama yang sekian lama dipatuhi kini mahu dicabar?

Kenapa bilamana Ibrahim Ali dan Perkasa bersuara mempertahankan Islam maka ia dianggap sebagai hasutan sedangkan kelancangan mulut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta pendakyah Kristian cuba menodai kesucian kalimah Allah s.w.t tidak pula dikecam sama?

Kita percaya masih ada penganut Kristian yang terbuka mindanya dan melihat isu ini dari perspektif lain dan tidak mahu turut terjebak dalam mainan politik sempit yang dimulakan oleh gereja Kristian dan DAP. Jika benar demikian bangkitlah segera menolak dakyah-dakyah politik sempit itu demi kepentingan semua pihak.


Guan Eng Harus Dipersalahkan Jika Kitab Bible Dibakar

Majlis Peguam dalam reaksi segeranya telah meminta pihak berkuasa bertindak mendakwa Presiden Perkasa, Ibrahim Ali di bawah Akta Hasutan berikutan gesaan NGO itu supaya kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah s.w.t dan disebarkan kepada pelajar Melayu Islam di Pulau Pinang dibakar.

Bila ada kepentingan untuk politik pembangkang tak semena-mena mereka mahu menggunakan Akta Hasutan yang sebelum ini seringkali dituduh sebagai alat Kerajaan Pusat untuk menutup mulut pemimpin pakatan pembangkang. Dasar hipokrit betul.

Itu sudah menjadi standard Majlis Peguam yang kiblatnya sejak dulu condong memihak kepada pembangkang, lagipun dalam bab putar belit sebegini sudah terlalu sinonim dengan mereka.

Dalam pada itu, ramai juga pemimpin PR dan pihak gereja Kristian tumpang sekaki mendesak Kerajaan Pusat bertindak tegas terhadap Ibrahim Ali kononnya demi memelihara hak kebebasan agama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tapi hak agama Islam yang dijamin sebagai agama Persekutuan serta penganutnya dilindungi daripada hasutan dan dakyah agama lain tidak pula para hipokrit politik dari PR dan puak Kristian ini mahu ambil kira untuk dihormati sama.

PR yang secara kasarnya kelihatan dikuasai pemimpin beragama Islam rupa-rupanya lebih sensitif bila timbul isu melibatkan kitab Bible, pelik bin ajaib betul. Kalimah Allah s.w.t sengaja mahu dinodai untuk disamakan dengan konsep ketuhanan triniti Kristian tidak pula mereka sensitif untuk pertahankan kesuciannya.

Sepatutnya sebelum mereka mencemuh Ibrahim Ali dan NGO yang diketuainya, lebih elok mereka cermin wajah sendiri dan kaji dari mula siapakah yang mula-mula mencetuskan isu kalimah Allah s.w.t untuk dimasukkan dalam kitab Bible Bahasa Melayu.

Jika tidak kerana mulut lancang dan kurang ajar dari Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menimbulkan isu ini dalam ucapannya semasa perutusan Kristmas 2012, perkara sebegini tidak akan timbul langsung.

Tapi dek kerana DAP begitu kemaruk mahukan undi penganut Kristian untuk berdepan dengan PRU 13 maka mereka dengan sengaja mencetuskan kembali tuntutan kalimah Allah s.w.t sekaligus menyebabkan suasana harmoni di antara orang Islam dengan minoriti Kristian di negara ini kembali hangat.

Tambah memanaskan keadaan bila mana para mubaligh Kristian keturunan Cina di Pulau Pinang kelihatan seperti sengaja mencurah minyak pada api yang sedang marak dengan menyebarkan kitan Bible yang mengandungi tulisan jawi dan kalimah Allah s.w.t kepada para pelajaf Melayu Islam di beberapa buah sekolah menengah di sana.

Nyata sekali pihak yang sepatutnya perlu dikecam dan dipersalahkan ialah DAP serta para aktivis Kristian dan bukannya Ibrahim Ali atau Perkasa yang hanya menyuarakan kemarahan terhadap tindakan kurang ajar DAP dan pihak pendakyah Kristian.

Jika benar ada kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah s.w.t terutama sekali yang disebarkan kepada pelajar Melayu Islam di Pulau Pinang itu akan dibakar, maka Lim Guan Eng dan DAP lah yang patut menanggung akibatnya, bukan begitu?


Jumaat, 25 Januari 2013

Lepas Damaikan Filipina-Bangsa Moro, Najib Bakal Damaikan Fatah-Hamas

Walaupun Malaysia belum lagi menjadi negara maju, tetapi negara ini berada di kelasnya yang tersendiri sebagai negara yang berpengaruh dan dihormati.  Pendirian Malaysia yang konsisten dan tegas untuk tidak mencampuri urusan negara lain, tetapi menyokong dan membantu segala usaha ke arah keamanan membuatkan kita sering dipilih sebagai rujukan atau pengantara bagi memulihkan keamanan di negara-negara yang berkonflik. 

Pendirian Malaysia adalah konsisten sejak era Tun Abdul Razak.  Pendirian ini mendapat kekuatan yang ampuh di era Tun Mahathir apabila beliau melonjakkan Malaysia sepuluh langkah ke hadapan sehingga dikenali sebagai Harimau Asia. 

Perdana Menteri kita, Dato' Seri Najib jelas mewarisi kehebatan bapanya serta kebijaksanaan Tun Mahathir melalui pengalaman bekerja di era Negarawan tersebut, pantas memperbaharui, meneruskan dan meningkatkan kekuatan yang sedia ada.   Semangat kedua-dua tokoh tersebut jelas terserlah dalam kepimpinan Dato' Seri Najib apabila beliau berjaya menggerakan perjanjian damai antara kerajaan Filipina - MILF pada Oktober 2012.   Dengan termeterainya perjanjian itu, konflik selama 40 tahun pun berakhir. 

Kejayaan tersebut membawa Dato' Seri Najib ke Gaza pula, di mana penindasan terhadap rakyat Palestin oleh rejim Israel berterusan.  Beliau dan anggota rombongannya termasuk Datin Seri Rosmah tiba di Semenanjung Gaza, Palestin pada 22 Januari bagi memenuhi jemputan rasmi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan undangan peribadi daripada Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.

Jemputan dari Mahmoud Abbas itu disampaikan kepada Dato' Seri Najib pada 3 Disember 2012 melalui Timbalan Pesuruhjaya Hubungan Antarabangsa Al Fatah Palestin, Dr Abdullah M.I. Abdullah. Manakala undangan daripada Ismail Haniyeh diterima pada 11 Disember 2012.

Sebelum ini, Palestin telah beberapa kali menyuarakan harapan kepada Malaysia untuk turut membantu membawa keamanan kepada rakyatnya. 

Menghentikan penindasan yang mana tercatat di dalam AlQuran dalam pesanan mengenai Yahudi, pastinya tidak mudah.  Langkah awal yang perlu dilakukan ialah meningkatkan kekuatan Palestin terlebih dahulu dengan menyatukan rakyatnya yang berpecah kepada dua, iaitu parti Hamas dan Fatah. 

Konflik kedua-dua parti ini bermula pada 2005 selepas kematian Yasser Arafat pada November 11, 2004.  Punca konflik ini juga begitu 'klasik' atau terlalu biasa dan dijangka iaitu tuduhan atau hasutan kononnya berlaku nepotisme dan rasuah di dalam kerajaan.  Akibatnya, rakyat Palestin berpecah di mana kedua-dua parti menganggap parti mereka sebagai wakil sah rakyat Palestin dengan Fatah berkuasa di Palestinian National Authority dan Hamas di Gaza. 

Pertempuran juga sering berlaku antara kedua-dua pihak ini yang mana menggandakan lagi penderitaan rakyat yang telah sedia tertindas oleh rejim Israel. 

Beberapa perjanjian pernah diusahakan antara kedua-dua pihak, antaranya di Kaherah pada May 2011 tetapi tidak berjaya memastikan kedua-dua pihak menurutinya.  Perjanjian Doha kemudiannya ditandatangani oleh Mahmud Abbas (Fatah) dan Haled Mashaal (Hamas) pada 2012 tetapi dianggap sebagai tergendala dan tiada usaha dibuat ke arah pilihanraya bersama.  Kedua-dua parti saling tuduh menuduh dan pertelagahan pun berterusan. 

Seperti mana-mana konflik yang melibatkan kepentingan Israel, kedua-dua pihak disyaki menerima bekalan senjata dari Amerika untuk memastikan mereka terus berpecah dan lemah. 

Justeru, harapan yang diletakkan di bahu Dato' Seri Najib ialah untuk membantu kedua-dua pihak membantu diri mereka dengan pertama sekali, bersatu.  Apa yang pasti, harapan agar beliau mengulangi kejayaan di Filipina, di Gaza bukanlah harapan yang tidak berasas. 

Ini kerana, Dato' Seri Najib terkenal sebagai pemimpin yang berani di mana beliau pernah melawat ke kawasan tegang di Selatan Thailand untuk mengusahakan gencatan senjata antara puak pemisah dengan kerajaan Thai.   Beliau juga merupakan antara penggerak keamanan di Bosnia pada tahun 1993 dan juga Somalia. 

Di kala negara-negara lain mengalami kerosakan dan kemusnahan akibat perang saudara, perpecahan antara kaum dan pemberontakan menentang kerajaan akibat termakan hasutan, Malaysia yang mempunyai landskap yang rapuh, bermasyarakat majmuk dan telah berkali-kali menghadapi 'ugutan' pemberontakan dari pihak-pihak tertentu, kekal berdiri teguh, aman dan makmur.  Segala provokasi agama, prasangka kaum dan perbalahan sesama umat Islam yang tercetus dari hasutan secara berterusan dengan matlamat untuk mencetuskan kekacauan, telah tidak menjadi.    

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa kebijaksanaan kepimpinan Dato' Seri Najib merupakan faktor utama kemampuan Malaysia untuk menepis 'serangan' pihak yang tidak bertanggungjawab itu.  Oleh itu, kita tidak ragu-ragu yang Dato' Seri Najib juga akan dapat membantu Palestin untuk turut 'menepis' hasutan ke arah perpecahan dan melakukan yang terbaik untuk mencapai perpaduan.

Husam Musa Wajar Cermin Muka Sendiri

Naib Presiden PAS merangkap Exco kanan Kerajaan PAS kelantan, Husam Musa nampaknya seperti tidak dapat menahan diri untuk turut sama tampil mempertikaikan pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berhubung 7 projek pembangunan di Kelantan sekiranya negeri itu kembali diperintah oleh Barisan Nasional (BN).

Menurut Husam, pengumuman tersebut dilihat sengaja meniru projek pembangunan yang pernah dijanjikan oleh Kerajaan PAS Kelantan terutama melibatkan pembinaan lebuhraya dan stadium baru.

"Kita sudah memberitahu kepada rakyat di negeri ini sudah lama, kerajaan negeri mahu membina stadium baru dan wujudkan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, tetapi Najib baru umumkan sebagai manifesto," katanya sebagaimana dipetik oleh Sinar Harian.

Rupanya Husam agak tersinggung dan tentunya resah bila mana janji manisnya yang ditaburi kepada rakyat Kelantan untuk membina Lebuhraya Rakyat yang menghubungkan Kuala krai dan Kota Bharu serta sebuah stadium baru telah 'diciplak' oleh BN.

Tapi bagi majoriti rakyat negeri ini rata-ratanya tidak pernah ambil serius pun dengan janji pembangunan yang ditaburi Husam dan parti PAS yang didukungnya itu, apatah lagi selama ini khalayak sudah semakin sedar antara janji dicapati oleh PAS bila dibandingkan dengan janji oleh BN, banyak jurang bezanya.

BN yang sudah sekian lama terkenal dengan reputasi menepati janji tentunya lebih diyakini kredibilitinya di mata rakyat.

Lebih-lebih lagi selama ini pun sudah terlalu banyak banyak yang mengarut ditabur oleh PAS dari hal lebuhraya, stadium, keretapi laju, kompleks petrokimia, jambatan palekbang, Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra dan bermacam lagi janji politik lain yang kesemuanya hanya gah semasa perlancaran namun sampai sekarang tiada satu pun yang menjadi realiti.

Sebaliknya dalam isu Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra, Kerajaan Pusat pimpinan BN pula yang terpaksa mengambil alih pembinaannya disebabkan ketidakmampuan Kerajaan PAS Kelantan untuk membangunkannya.

Itulah hakikatnya bila Kerajaan PAS Kelantan hanya sekadar bijak berkata-kata dan menabur janji sahaja, namun bila sampai diperingkat untuk perlaksanaannya ada sahaja alasan untuk mengelakkan diri dari menepati janji.

Dalam hal pembinaan stadium baru untuk menyokong perkembangan bolasepak Kelantan begitu juga, Husam dan PAS hanya pandai berjanji sama seperti janjinya untuk membina Lebuhraya Rakyat. Sehingga kini tiada satu yang kelihatan walau sebatang tiang konkrit pun, kalau ada pun cuma batu asas perlancaran yang semakin dimamah usia.

Sewajarnya, sebelum Husam sibuk untuk mempertikaikan pengumuman dan janji pembangunan yang dibuat oleh PM tempohari, eloklah Husam cuba berlapang dada cermin muka sendiri. Dah tahu parti sendiri hanya tahu propagandakan janji sambil mengaut wang derma rakyat jelata tanpa berusaha untuk menepatinya, eloklah duduk diam-diam sahaja.

Rakyat Kelantan sudah cukup muak dengan permainan politik PAS yang asyik berjanji siang dan malam. Berjanji kemudian kerap memungkiri janji tidak pun membantu rakyat ke arah meningkat taraf hidup keluarga dan juga negeri.

Daripada terus ditipu hidup-hidup oleh lamunan janji manis PAS, lebih baik rakyat Kelantan memegang teguh pada janji pembangunan yang diumumkan oleh PM, ada juga kredibiliti dan reputasinya yang terbukti benar menepati janji.

Untuk itu, PRU 13 kelak eloklah sama-sama kita semua rakyat Kelantan melupakan Husam & PAS serta janji politik mereka yang satu sen pun tidak berguna. Lebih baik pakat-pakat semua memilih BN, dengan demikian BN berpeluang membuktikan janji yang mereka kemukakan adalah janji yang ditepati dan memberi manfaat untuk sekalian rakyat jelata.





Keberanian Najib, Kebaculan Nik Aziz



Akhirnya 22 Januari 2013 sekitar 4.40 petang waktu Malaysia, Dato' Seri Najib dan anggota rombongannya tiba di Semenanjung Gaza, Palestin. Turut serta ialah isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor.

Buat julung kalinya lagu NegaraKu berkumandang di Palestin sebagai meraikan detik bersejarah itu, sesuatu yang agak membanggakan ramai rakyat Malaysia setelah berpuluh tahun negara ini menjadi rakan setia menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi keganasan Israel.

Tapi bagi segelintir penyokong pembangkang khususnya dari PAS dan PKR, mereka melihat keberanian PM melawat Palestin hanyalah satu propaganda politik untuk mencapai kelebihan sempenan PRU 13. Samada dalam media sosial seperti facebook, twitter, portal mahupun di dunia nyata itulah yang mereka perkatakan.

Ada sebabnya mereka memfokuskan hal demikian, salah satunya bertujuan untuk menghalang perhatian umum daripada mengimbas kembali kenyataan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang pernah berikrar untuk menjamin dan menjaga keselamatan negara Israel.

Bagi sebahagian besar rakyat negara ini pula, mereka melihat langkah berani Dato' Seri Najib memijak bumi Palestin khususnya Semenanjung Gaza sebagai sejarah besar yang tidak mungkin dilupakan, lebih-lebih lagi baru sahaja 2 bulan yang lalu rakyat negara itu diancam kekejaman tentera Israel.

Lagipun keprihatinan Dato' Seri Najib dengan nasib umat Islam di wilayah bergolak sudah terbukti keikhlasannya. Dan ini bukanlah kali pertama Dato' Seri Najib sanggup berdepan dengan risiko kehilangan nyawa di wilayah yang sedang dilanda keganasan perang.

Sekitar Disember 2009 dulu, PM juga pernah mengambil risiko yang sama apabila melawat Selatan Thailand bagi mengusahakan rundingan gencatan senjata diantara anggota pemisah Selatan Thai dengan Kerajaan Thailand, sekalipun tika itu letupan bom dan serangan hendap masih belum reda.

Sedangkan Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pun pernah mengakui ketakutannya untuk memijak bumi Selatan Thai kerana bimbang terkena tembakan. Nampak sangat kebaculannya. Memalukan.

PAS yang sering menanam semangat perjuangan kepada ahli dan penyokongnya untuk mengejar ganjaran mati syahid, sedar tak sedar rupa-rupanya pemimpin utamanya sendiri tak sanggup menempuh risiko demikian kerana takut mati syahid serta terlampau sayangkan pangkat dan darjat duniawi.

Sedangkan UMNO yang saban hari dituduh anti Islam dan tidak Islamik oleh PAS, namun para pemimpinnya tidak pula dilanda gundah atau ketakutan untuk menempuh cabaran besar kehilangan nyawa dan syahid tatkala membantu umat Islam di wilayah yang sedang bergolak. Inilah perbezaan nyata antara pemimpin UMNO dengan PAS.

Selasa, 22 Januari 2013

Projek Petrokimia: PAS Utamakan Orang Johor Dari Orang Kelantan?

  

Beberapa hari lepas Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah membuat pengumuman untuk melaksanakan tujuh projek pembangunan berskala besar untuk Kelantan semasa merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di RTC Tunjong, Kota Bharu.

Projek pembangunan itu merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, stadium baru, masjid terbesar, perumahan rakyat, sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan projek bekalan air bersih.

Berikutan itu ada sesetengah penyokong dan pemimpin PAS tampil mempersoalkan kenapa projek pembinaan kompleks petrokimia yang melibatkan pendaratan & penapisan minyak dan gas di Pantai Senok, Bachok tidak dimasukkan sekali dalam pakej pembangunan yang diumumkan oleh PM.

Bagi yang celik akal dan minda tentunya sedang tersenyum simpul mendengar tuntutan sedemikian. Persoalannya kenapa?

Umum mengetahui di Pengerang, Johor tika ini usaha Kerajaan Pusat melalui Petronas untuk membina kompleks petrokimia membabitkan pendaratan dan penapisan minyak (Rapid Pengerang) telah menerima bantahan daripada PAS dan sekutu mereka.

Para pemimpin PAS dan PR serta NGO proksi mereka giat melancarkan kempen hasutan kepada penduduk kononnya projek kompleks petrokimia di Pengerang itu akan menyebabkan kesan buruk kepada alam sekitar selain menyebabkan risiko keselamatan kepada penduduk.

Dilihat pada propaganda dan hasutan PAS serta PR di Pengerang, logiknya ia menggambarkan keprihatinan mereka terhadap isu alam sekitar, kesihatan dan nyawa rakyat Johor. Itu yang kelihatan dari pandangan kasar.

Bila dibandingkan pula dengan tuntutan PAS supaya kompleks petrokimia yang sama di bina di Kelantan, ia seakan menunjukkan PAS amat mengutamakan keselamatan rakyat Johor berbanding nasib rakyat negeri Kelantan, bukan begitu?

Tapi hakikat sebetul-betulnya, percanggahan ketara itu hanya menyerlahkan betapa hipokritnya pemimpin PAS & PR. Mereka membantah Rapid Pengerang bukan atas isu alam sekitar, kesihatan dan demi nyawa rakyat pun. Sebaliknya bertujuan untuk mensensasikan sentimen penduduk sahaja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...