Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Jumaat, 15 Mac 2013

Bodohnya, ‘Manila Standard Today’ Samakan Najib Dengan Slovodan Milosevic?

Atty. Harry Roque Jr, seorang wartawan dari Manila Standard Today, mendesak Datuk Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia agar menghentikan konflik bersenjata di Sulu dengan segera atau beliau akan dilihat sebagai setaraf dengan penyembelih orang Islam di Bosnia, iaitu Slobodan Milosevic atau pembunuh rakyat sendiri dengan senjata kimia, iaitu Saddam Hussein.  

Wartawan tersebut juga secara biadapnya menuduh Malaysia tidak mengendahkan hak asasi manusia dalam melindungi hak untuk hidup bagi rakyat Filipina di Sabah serta hak untuk dibicarakan sebelum dijatuhkan hukuman mati.  Seterusnya, beliau mengugut supaya Malaysia berfikir dua kali sebelum melakukan jenayah di bawah Akta Antarabangsa.  Tulisan Roque ini adalah berdasarkan dakwaan kononnya berlaku serbuan dan pembunuhan rakyat Filipina secara kejam dan tidak mengikut undang-undang dalam usaha membanteras pengganas Sulu di Lahad Datu.  Harry Roque nampaknya tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai Datuk Seri Najib, Slobodan Milosevic mahupun Saddam Hussein kerana ketiga-tiga mereka ternyata berbeza dari segi karektor, latarbelakang mahupun sejarah negara masing-masing.  

Roque juga nampaknya tidak segan silu memberi pandangan malah 'mengugut' Perdana Menteri Malaysia hanya dengan berdasarkan laporan media lain yang turut memetik 'cerita' dari mereka yang mendakwa sebagai mangsa tanpa terlebih dahulu menyelidik kesahihannya.  Slobodan Milosevic telah tercatat dalam sejarah dunia sebagai manusia kejam yang melakukan pembersihan etnik ke atas umat Islam di Bosnia.  Beliau telah pun didakwa dan dihukum sebagai penjenayah perang sebelum ditemui meninggal dunia di dalam penjara pada tahun 2006 kerana serangan jantung.  Milosevic lahir dalam era perang dunia keII.  Ibubapanya telah bercerai sejurus selepas perang berakhir.  Bapanya, seorang padri Serbia Ortodoks telah membunuh diri pada tahun 1962 dan ibunya juga menurut jejak langkah yang sama sepuluh tahun kemudian.  Latarbelakang yang penuh dengan keganasan secara semulajadinya telah menjadikan Milosevic seorang yang kejam.  Saddam Hussein pula telah dituduh sebagai bertanggungjawab membunuh sehingga 100,000 puak pemberontak Kurdish dengan menggunakan senjata kimia.   Tuduhan ini tidak dapat dibuktikan dengan jelas sehingga ke akhir hayatnya, seperti juga tuduhan beliau membina senjata pemusnah (WMD).  Ramai yang berpendapat bahawa tuduhan tersebut hanyalah rekaan Amerika.   Saddam ditangkap dan digantung pada tahun 2006.  

Saddam juga mempunyai latarbelakang yang menyedihkan di mana bapanya meninggalkan keluarganya ketika Saddam masih di dalam kandungan ibunya.  Ketika berusia 13 tahun, Saddam kehilangan abangnya akibat kanser.  Saddam yang masih bayi kemudian dipelihara oleh ibu saudaranya sehingga berusia 3 tahun iaitu sehingga ibunya berkahwin semula.  Dari situ, Saddam mendapat tiga abang tiri dan bapa tiri yang tidak melayannya dengan baik.  Semasa berumur 10 tahun, Saddam tidak sanggup lagi tinggal bersama keluarganya dan melarikan diri ke Baghdad untuk tinggal dengan bapa saudaranya.  Jelas, apa yang berlaku kepada Saddam sewaktu kecil, telah membentuk jiwa yang keras dan kental malah mungkin juga kejam.  Milosevic dan Saddam, kedua-duanya menepati ciri-ciri manusia yang berpotensi menjadi kejam kerana mempunyai latarbelakang yang tidak normal.   Manusia yang waras tidak mungkin akan secara semulajadi mempunyai jiwa yang keras atau kejam jika mendapat pendidikan yang baik dan dibesarkan dalam keluarga yang normal.  

Dan kerana itulah Datuk Seri Najib cukup terkenal sebagai seorang yang berjiwa lembut.  Untuk pengetahuan Roque, Datuk Seri Najib lahir dalam golongan bangsawan, di dalam sebuah keluarga bahagia di mana bapanya Tun Abdul Razak ketika itu merupakan Pegawai tinggi kerajaan.   Datuk Seri Najib kemudiannya dibesarkan sebagai anak Perdana Menteri Malaysia apabila Tun Abdul Razak dilantik sebagai Perdana Menteri.  Namun, beliau tidak pernah mempunyai masalah kekurangan perhatian atau tidak cukup kasih sayang seperti Milosevic mahupun Saddam kerana ibu Datuk Seri Najib adalah surirumah sepenuh masa, serta ibu yang penyayang.  Tun Abdul Razak juga tidak pernah mengabaikan keluarga dan sering mencuri masa untuk mendampingi anak-anaknya serta memantau pembelajaran mereka.  Tun Razak tidak memanjakan anaknya dengan kemewahan malah menolak permintaan anak-anaknya untuk membina kolam renang di rumah supaya kehidupan mereka tidak terlalu berbeza dengan orang kebanyakan.   Datuk Seri Najib dididik dengan penuh kesopanan dan kesusilaan sesuai dengan darah bangsawannya dan kedudukan bapanya sebagai Perdana Menteri.  

Oleh kerana, Datuk Seri Najib tidak pernah terdedah kepada keganasan sewaktu kecil, maka beliau mempunyai jiwa yang lembut dan prihatin.  Ini terbukti apabila ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan dan bertanggungjawab menanganai tragedi Sauk, beliau telah memilih untuk berunding dan memujuk dengan pemberontak sehinggalah mereka menyerah diri.  Pertumpahan darah tidak pernah menjadi pilihan utamanya.  Beliau juga merupakan watak penting dalam kebanyakan misi keamanan yang disertai Malaysia, termasuk di Bosnia di mana Milosevic merupakan penjenayahnya.  Beliau  juga turut bertanggungjawab membawa perdamaian di selatan Filipina dan baru-baru ini turut berikrar untuk membantu membawa perdamaian di Palestine.  Jelas, jiwa dan personaliti Datuk Seri Najib adalah berorientasikan 'keamanan' yang mana amat berbeza dengan Saddam dan Milosevic yang merupakan pengganas.  

Justeru, apa yang dibayangkan oleh Roque mengenai Datuk Seri Najib sebagai manusia kejam amatlah menggelikan hati.  Datuk Seri Najib tidak mungkin mampu walaupun untuk menampar mereka-mereka yang giat memfitnahnya saban hari.  Malah, beliau jarang sekali membalas kutukan mereka, kecuali jika sudah terlalu amat keterlaluan, maka beliau akan memberikan penjealasan sebagai serangan balas kepada kutukan tersebut.  Tentera dan polis Malaysia juga turut membawa semangat keamanan dan keprihatinan yang sama dengan pemimpin kita, Datuk Seri Najib.  Dunia telah menyaksikan bagaimana pasukan keselamatan dan pertahanan Malaysia adalah antara yang paling aktif menyertai misi-misi keamanan di mana saja.  Malah, dalam insiden Lahad Datu juga, kelembutan hati pihak Malaysia cukup terserlah dan terbukti apabila kita memberi ruang yang terlebih dari cukup untuk berunding dan menyerah diri.  

Satu-satunya pihak yang ganas dalam insiden Lahad Datu ialah pihak Sulu.  Mengorek mata, menyembelih dan memotong tangan anggota keselamatan Malaysia adalah sesuatu yang teramat asing bagi tentera dan polis Malaysia kerana 'kekejaman yang keterlaluan' bukanlah satu sifat yang biasa dimiliki oleh rakyat negara ini, biarpun mereka merupakan penjenayah.  Selain itu, tentera dan polis Malaysia, majoritinya berbangsa Melayu dan bangsa Melayu itu telah tercatat dalam sejarah sebagai bangsa lemah lembut iaitu sifat yang membolehkan negara ini kekal aman walaupun penduduk asal terpaksa berkongsi kekayaan dengan bangsa lain, termasuk pendatang asing.  Jika orang Melayu begitu ganas, kenapa orang Filipina terhegeh-hegeh sanggup bergadai nyawa ke sini?  Kenapa selama ini mereka selamat, hidup aman, tenang dan tidak pernah diganggu?  Kenapa hanya hari ini baru kedengaran cerita berkenaan 'kekejaman' pihak keselamatan Malaysia terhadap mereka?  Kenapa tidak sejak dahulu lagi?  

Mungkin Roque perlu membuat sedikit kajian sebelum menulis kerana nampaknya beliau masih belum layak untuk mengulas apa-apa mengenai isu dunia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...