Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Rabu, 13 Mac 2013

Pengundi di Melaka berjumlah 439,869 orang

MELAKA 11 Mac 2013

Sebanyak 439,869 orang di negeri ini layak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Tahun 4/2012. Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Haelmy Mohd. Hanifah berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 1.12 peratus iaitu pertambahan sebanyak 4,894 orang berbanding daftar pemilih Suku Tahun 3/2012 iaitu 434,885 orang.

Menurutnya, jumlah yang didaftarkan untuk suku tahun keempat itu terdiri daripada 14,563 pemilih tidak hadir, 6,525 pengundi baharu dan 1,744 pendaftaran pertukaran alamat pusat mengundi. ''Dalam tempoh ini apabila Parlimen dibubarkan dan SPR menetapkan tarikh pilihan raya, DPT Suku Tahun 4/2012 akan digunakan dan bukannya DPT Suku Tahun 3/2012," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi penerangan berhubung kemudahan mengundi melalui pos kepada warga media di ibu pejabat SPR negeri Menara Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. Haelmy berkata, pengundi tidak hadir terdiri daripada anggota polis, tentera, penjawat awam bertugas di luar negara dan pelajar sepenuh masa menuntut di luar negara serta pasangan masing-masing. Katanya, bagi pelajar separuh masa pula mereka tidak layak dikategorikan sebagai pengundi tidak hadir.

''Bagi pengundi yang sudah meninggal dunia dan mereka yang hilang kelayakan mengundi di negeri ini ialah 2,833 orang," katanya.
Menurutnya, pengundi paling ramai di negeri ini ialah di Parlimen Bukit Katil apabila mereka yang layak untuk mengundi sebanyak 99,581 orang manakala Parlimen Masjid Tanah merupakan pengundi paling sedikit iaitu 46,062 orang. Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 6,764 petugas SPR akan bertugas bagi memastikan kelancaran perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13 di negeri ini.

Kesemua petugas tersebut akan ditempatkan di 238 pusat mengundi di enam kawasan Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...