Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Selasa, 25 Februari 2014

Showcase Usahawan IKS 2014 Melaka/Kedah @MukhrizMahathir @idrisharon66

Kedah sedang mengintai peluang serta potensi produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) dari negeri itu untuk diperkenalkan di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kejayaan Melaka sebagai negeri pelancongan yang pesat dengan pelbagai aktiviti pelaburan menjadi contoh buat Kedah untuk diaplikasikan.

Menurutnya, impak daripada menembusi pasaran negeri itu, produk-produk IKS Kedah secara tidak langsung akan turut dipromosikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

"Kadang-kadang kita lebih mengutamakan lawatan ke luar negara walhal dalam negara sendiri terlalu banyak pengalaman yang sangat relevan yang boleh kita pelajari dan contohi dari kalangan rakan-rakan di negeri lain.

"Impak jangka masa pendek menerusi pameran usahawan secara tidak langsung dapat mempromosikan produk keluaran Kedah ke Melaka di samping melihat produk-produk keluaran Melaka yang berjaya diusahakan dari segi promosi dan pembungkusannya.

"Untuk jangka masa panjang pula, kita akan melihat aspek promosi serta pembangunan sektor pelancongan negeri Melaka yang boleh diteladani bukan hanya untuk Pulau Langkawi, malah Kedah sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Showcase Usahawan IKS 2014 sempena Program Jalinan Transformasi antara kerajaan negeri Kedah dan Melaka di pasar raya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Program tiga hari bermula semalam itu melibatkan sebanyak 28 pengusaha produk IKS dengan 24 daripadanya terdiri daripada usahawan IKS dari negeri Kedah dan selebihnya dari Melaka.

Mereka terdiri daripada pengusaha produk kosmetik, produk berasaskan beras, pertanian, makanan dan kraftangan.

Mukhriz berkata, selain usaha berorientasikan eksport, tumpuan dengan mencari ruang bagi pasaran dalam negeri akan membantu memartabatkan produk tempatan yang lebih murah serta diyakini halal dan bersih.

Katanya, limpahan manfaat ekonomi sehingga ke ceruk kampung dan desa dapat dinikmati bersama apabila produk-produk keluaran pengusaha IKS mendapat permintaan yang tinggi.

"Sudah tentu keadaan ini mampu membentuk satu kitaran ekonomi yang lebih meluas dan menyeluruh, lantas, agihan kek ekonomi dan kemakmuran negara boleh disebarluaskan sekali gus jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar dapat dikecilkan," katanya.

source: utusanonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...