Utusan Online

Minda Mendonan Munif Majid

Khamis, 2 Ogos 2012

PAS Sedia Serang Pihak Menentang Maksiat di Selangor

 


Selangor kini sudah sinonim dengan gelaran 'Syurga Dunia' bagi mereka-mereka yang gemar berhibur.   Dan kita bukan bercakap tentang hiburan ringan seperti muzik atau teater, tetapi hiburan berat di tahap 'tertinggi' yang boleh didapati dengan mudah di seluruh pelusuk negeri Selangor.  

Seimbas lawatan ke Puchong atau Subang Jaya sahaja kita mendapati beratus-ratus rumah urut termasuk urut kesihatan dan juga 'urut hiburan'.  Namun, kita tidak perlu bersusah payah untuk membuat kajian urutan jenis mana yang lebih banyak ditawarkan kerana melihat sahaja 'amoi' atau 'neng' tukang urut yang bersantai menunggu pelanggan, kita tidak yakin yang mereka itu mampu mengurut urat terkehel atau tulang patah untuk kesihatan.    

Hakikatnya, percambahan rumah urut di Selangor bukanlah serangan peluru kapur dari BN terhadap kerajaan PR tetapi ia adalah sesuatu yang terlalu nyata yang mana orang buta juga tidak dapat menafikannya.  

Pada 1 Julai 2011, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita di Selangor membuat aduan mengenai hal ini serta mempertikaikan kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor yang menyatakan bahawa hanya 60 lesen kepada pusat urut di seluruh negeri.  

Sedangkan, mengikut Wakil NGO yang juga merangkap Presiden Persatuan Terapi Kecantikan Malaysia, Profesor Dr. Clara Chee, di kawasan Pandan Indah sahaja, terdapat lebih 80 pusat urut dan berdasarkan pemerhatian, terdapat lebih 200 pusat urut beroperasi di Klang selain berpuluh-puluh lagi wujud di Kuchai Lama, Damansara dan Ampang Jaya.

Tetapi, segala aduan tersebut telah diabaikan sahaja oleh kerajaan negeri.  Dan ini adalah cerita tahun lepas.   

Tahun ini, rumah-rumah urut di Selangor telah tumbuh dengan berlipat ganda lagi.  Dan sekali lagi pihak kerajaan negeri, khasnya, Ronnie Liu, menafikan yang kerajaan Selangor mengeluarkan lesen kepada rumah-rumah urut ini.   

Kenyataan tersebut hanya mengesahkan lagi bahawa kerajaan negeri telah tidak menangani masalah ini dengan serius sehingga menyebabkan rumah-rumah urut terus 'bermarajalela' beroperasi secara haram.  Lebih buruk lagi apabila parti PAS yang sama-sama berkongsi peranan dalam pentadbiran negeri Selangor juga mengambil sikap yang sama dengan Ronnie Liu iaitu menafikan serta tidak mengendahkan aduan rakyat.   

3 EXCO dan 7 wakil DUN PAS di Selangor nampaknya tegar mempertahankan kerajaan PR Selangor biarpun seluruh negeri bergelumang maksiat.  Bukan itu saja, mereka juga sanggup menyerang sesiapa sahaja yang lantang menghentam isu maksiat di Selangor.  

Secara langsung, PAS memaksa penyokong-penyokongnya memejam mata dan memekakkan telinga dalam isu ini.  Mungkinkah PAS memilih untuk memakai pepatah Inggeris yang berbunyi 'if you can't beat them, join them' (kalau tak dapat kalahkan mereka, sertai mereka)?  Jika inilah sikap PAS mengenai masalah maksiat yang berleluasa, maka eloklah PAS menukar sahaja nama partinya agar tidak mencemarkan lagi nama agama Islam yang telah teruk dipermainkan oleh mereka.  

Kita tidak pernah lupa bagaimana penyokong PAS suatu ketika dahulu di zaman pemerintahan BN sanggup berjihad menentang kilang arak di Selangor.  Kononnya, kewujudan kilang itu sudah cukup untuk menunjukkan yang BN menyokong maksiat, hatta kafir serta wajib ditentang dan dijatuhkan.  Seolah-olah tidak sahlah solat seluruh umat Islam di Malaysia selagi kilang tersebut tidak diroboh dan selagi kedai-kedai menjual arak, pusat-pusat hiburan terutama rumah-rumah urut wujud di negara ini. 

Namun, hari ini penyokong-penyokong PAS yang sama membisu seribu bahasa mengikut rentak EXCO, ADUN, Presiden dan Mursyidul Am mereka mempertahankan kerajaan negeri Selangor walaupun kilang arak masih terus wujud dan pusat maksiat tumbuh berlipat kali ganda dan tanpa kawalan berbanding zaman pemerintahan BN.    

Justeru, penyokong-penyokong PAS wajar merasa malu jika masih melaungkan sokongan terhadap PAS atas alasan Islam dan menginginkan hudud.  

Jika masalah maksiat yang nyata juga PAS tak ambil peduli, apakah layak untuk PAS bercakap tentang hudud, Negara Islam, malah Islam itu sendiri?




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...